Misi Larian Obor KL 09 bawa mesej daripada atlet paralimpik

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Program Misi Larian Obor Sukan Para Asean kelima (KL 09) akan membawa mesej penting daripada atlet paralimpik pada sepanjang larian yang akan bermula di Melaka, esok dan berakhir di Dataran Keris, Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat minggu depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Zainal Abu Zarin berkata tiga mesej tersebut ialah meminta sokongan daripada masyarakat, meminta layanan sama rata kepada atlet paralimpik dan kemudahan di semua pusat sukan dan taman rekreasi kepada atlet paralimpik.

"Mesej yang dibawa yang membezakan larian obor KL 09 daripada larian obor kejohanan lain. Sebab itu larian obor KL 09 dinamakan Misi Larian Obor KL 09," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 1,500 peserta, gandingan antara atlet paralimpik dan normal, akan terlibat dalam larian obor KL 09 dan setiap peserta perlu berlari sambil membawa obor sejauh 500 meter melibatkan 11 peringkat di Melaka, Selangor dan sekitar Lembah Klang.

"Kemuncaknya, obor akan dibawa masuk dan dinyalakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari perasmian KL 09 pada Sabtu minggu depan," katanya.

Beliau berkata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan KL 09 sementara Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek akan menutup temasya yang akan berlangsung sepanjang lima hari bermula 15 Ogos ini.

Beliau berkata pelbagai acara sampingan akan diadakan di setiap peringkat larian obor tersebut dan penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dijangka menerima obor bagi larian di peringkat ibu kota di Menara Kuala Lumpur pada Khamis minggu depan.

Antara laluan utama yang akan terlibat dalam larian obor KL 09 ialah Ulu Selangor, Batu Caves, Ampang Jaya, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Bangi.

Sebanyak 11 acara iaitu olahraga, renang, badminton, pingpong, powerlifting, catur, tenpin boling, pelayaran, tenis berkerusi roda, bola keranjang berkerusi roda dan bola tampar dipertandingkan pada KL 09, melibat 11 venue di sekitar Lembah Klang selain di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Seramai 1,200 atlet dan pegawai dari 10 negara Asean dan Timor Leste akan mengambil bahagian dalam Sukan Para Asean yang kali kedua dianjurkan Malaysia selepas pertama kali menganjurkannya pada 2001. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan