Malaysia masih tunggu dokumen berkaitan sukan SEA

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih menunggu beberapa dokumen teknikal berkaitan temasya Sukan SEA daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Laos (Loasoc).

Antara dokumen itu termasuklah mengenai jumlah penyertaan delegasi Malaysia dan senarai nama atlet ke temasya dwitahunan itu bagi memudahkan tuan rumah membuat persiapan sewajarnya seperti kemudahan penginapan di Perkampungan Sukan.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata Malaysia masih belum menerima dokumen berkaitan walaupun telah dimaklumkan oleh pihak Laosoc semalam bahawa dokumen tersebut telah diedarkan.

Beliau berkata mengikut peraturan Persekutuan Sukan SEA (SGF), dokumen mengenai jumlah penyertaan sepatutnya diedarkan sembilan bulan sebelum temasya itu berlangsung manakala dokumen yang menyenaraikan nama atlet sepatutnya diberikan dua bulan sebelum sukan bermula.

"Tetapi kurang enam bulan dari tarikh temasya tersebut, Loasoc masih dalam proses mengedarkan dokumen jumlah penyertaan delegasi. Mungkin mereka kekurangan pegawai yang memahami peraturan SGF," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sukan SEA ke25 akan berlangsung di Vientiane, Laos dari 9 hingga 18 Disember depan.

Mengenai perkembangan proses pemilihan atlet Malaysia ke temasya sukan itu, Sieh berkata Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang dianggotai oleh wakil MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan-persatuan sukan akan bermesyuarat pada 25 Julai ini bagi membincangkan perkara berkaitan pemilihan atlet ke Laos.

Ketika ini, katanya, persatuan sukan masih belum memberikan nama pengurus pasukan masingmasing kepada MOM.

"Kita berharap perkara itu dapat diselesaikan pada mesyuarat pemilihan itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sieh berkata Majlis Olimpik Asia (OCA) akan bermesyuarat di Singapura pada 1 Julai depan bagi membincangkan kalendar sukan di rantau ini yang dipenuhi pelbagai temasya dan kejohanan baru.

Mesyuarat itu juga akan membincangkan mengenai penundaan atau pembatalan beberapa kejohanan disebabkan penularan wabak influenza A(H1N1), katanya.

"Kesan wabak tersebut terhadap perkembangan sukan di rantau ini akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Perubatan OCA yang dipengerusikan oleh timbalan presiden MOM, Datuk Dr M. Jegathesan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan