Ekuestrian: Syazna Leena tekad wakili negara di Sukan SEA dan Sukan Asia

Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya meraih kemenangan "Champions Voyage" kategori showjumping di Kejohanan Siri Piala Perdana 2009 semalam, ekuin negara Syazna Leena Zulhasnan Rafique menyimpan tekad untuk mewakili negara di Sukan Asia di Guangzhou, China tahun depan dan Sukan SEA dua tahun lagi.

Untuk rekod, acara ekuestrian tidak dipertandingkan di temasya Sukan SEA Laos pada Disember depan.

Syazna Leena, 20, yang mewakili pasukan 3Q dan kudanya, Helu Du Codarde berjaya mengetepikan saingan beberapa peserta lain dengan mendapat 31 mata untuk memenangi gelaran berkenaan.

Beliau kini sedang giat menjalani latihan di Pusat 3Q Kuang, bagi menghadapi Kejohanan 3QE Classic yang dijadualkan berlangsung pada akhir Julai depan.

"Kemenangan semalam merupakan satu suntikan semangat untuk meneruskan pencapaian saya selepas ini. Sasaran utama saya ialah untuk mewakili negara di Sukan Asia tahun depan, juga Sukan SEA dalam masa dua tahun lagi.

"Saya bertekad untuk mewakili dan mengharumkan nama negara dalam sukan ekuestrian khususnya dalam acara showjumping," kata Syazna, yang juga pemenang pingat emas acara showjumping berpasukan di Sukan SEA Korat pada 2007.

Selain itu, beliau juga bertekad untuk memperbaiki mutu pencapaiannya dan meningkatkan teknik tunggangan pada masa akan datang.

Syazna Leena yang kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan undangundang di London terpaksa membahagikan masanya untuk pelajaran dan juga sukan kegemarannya itu.

Pada penampilan pertama beliau di temasya Sukan SEA Korat, beliau terpaksa menangguhkan pelajarannya demi semangat untuk mewakili negara.

"Bagi saya, pelajaran amat penting. Pada masa yang sama, sukan ekuestrian telah menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan harian saya. Saya mula menunggang kuda sejak berusia 10 tahun.

"Kemenangan semalam telah membangkitkan semangat saya untuk terus beraksi cemerlang. Saya yakin dan percaya akan mencapai impian saya dalam keduadua bidang tersebut," kata Syazna Leena, yang pernah memenangi Anugerah Showjumper Remaja Terbaik Negara pada 2007. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan