MASUM tarik diri daripada Universiade 2009

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) telah menarik diri daripada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2009) di Belgrade, Serbia, bulan depan, atas arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Tindakan itu diambil sebagai langkah berwaspada terhadap penularan wabak influenza A(H1N1) di beberapa negara dan mengelak risiko jangkitan kepada atlet Malaysia.

Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Dr Shaharudin Ismail berkata arahan kepada MASUM dikeluarkan hari ini selepas mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya walaupun Serbia masih bebas daripada wabak itu tetapi atlet dari seluruh dunia akan menyertai temasya itu dari 1 hingga 12 Julai ini dan ia boleh mendedahkan atlet Malaysia kepada jangkitan wabak itu.

Shahrudin memberitahu Bernama di sini bahawa MASUM mempunyai alasan kukuh untuk menarik diri dan berharap penganjur Universiade 2009 akan memahami pendirian tersebut demi menjaga keselamatan atlet.

Berikutan tindakan tersebut, segala program untuk temasya Universiade seperti majlis penyerahan bendera yang dijadualkan Isnin ini serta latihan kem pusat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan bermula Sabtu ini turut dibatalkan.

MASUM sebelum ini mengesahkan untuk menghantar 28 atlet bagi mengambil bahagian dalam acara taekwondo, memanah, renang dan olahraga. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan