Hoki: Juara bertahan Argentina tetap unggul

Diterbitkan: Rabu, 10 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Juara bertahan Argentina terus mempamerkan aksi mantap untuk mencapai kemenangan kedua apabila menumpaskan Belgium 3-0 pada perlawanan Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di sini semalam.

Bagaimanapun, Belgium tidak mudah tunduk apabila memberi saingan sengit sepanjang babak pertama dan memaksa Argentina mengambil masa untuk memahami rentak permainan pasukan lawan.

Argentina, yang memulakan kempen dengan membelasah Russia 9-3 kelmarin, membuka tirai jaringan menerusi Augustin Mazzilli pada minit ke-40.

Belgium cuba mencari gol penyamaan tetapi gagal walaupun mempunyai banyak peluang sebelum menerima nasib malang apabila Alan Gabriel Andino menambah gol kedua Argentina menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Andino menjadi wira pasukan Argentina apabila menyumbang gol muktamad pada minit ke-69.

Jurulatih Argentina Pablo Lombi menyifatkan perlawanan menentang Belgium itu adalah sukar memandangkan tiada jaringan pada babak pertama.

Sementara itu, jurulatih Belgium Pascal Kina berkata anak buahnya menunjukkan persembahan baik tetapi pasukan Argentina mengambil kesempatan terhadap beberapa kesilapan yang dilakukan oleh pemainnya.

Sebelum ini, Belgium mengatasi Mesir 51 pada perlawanan pembukaannya Ahad lalu.

Dalam satu perlawanan Kumpulan C di stadium sama, Sepanyol mencatatkan kemenangan kedua apabila menewaskan England 2-1.

Gol Sepanyol dihasilkan masing-masing oleh Salvador Piera dan Xavier Lleonart pada minit ke-13 dan ke-35 manakala gol saguhati England diperoleh menerusi Alex Edmonstone pada minit ke-69.

Sementara itu, di Stadium Sengkang, Singapura, India dan New Zealand seri 2-2 pada perlawanan Kumpulan D manakala Australia menewaskan Jepun 6-1 dalam Kumpulan B. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan