Perenang Malaysia menang tujuh lagi pingat emas

Diterbitkan: Jumaat, 5 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad renang Malaysia meraih tujuh lagi pingat emas dan mencipta satu rekod baru pada hari kedua Kejohanan Renang Kumpulan Umur Asia Tenggara (SEA) Ke33 di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, hari ini.

Rekod baru hari ini dicipta oleh Cheng Karmen dalam acara kuak lentang 200m wanita Kumpulan 2.

Perenang berusia 14 tahun ini mencatat masa dua minit 21.79 saat untuk memperbaharu rekodnya sebelum ini 2:22.98s, yang dicipta pada kejohanan serupa di Bangkok, Thailand, tahun lepas.

Mengikuti rapat di belakangnya ialah perenang Indonesia Yessy V. Yosaputra dan Kittiya Patarawadee dari Thailand, yang masing-masing mencatat masa 2:23.65s dan 2:27.02s.

"Memang gembira apabila berjaya mencipta rekod baru dalam pertandingan, tapi saya kecewa sedikit tentang keputusannya.

Pencapaian hari ini hampir menyamai masa terbaik saya 2:20.00s, yang dicatat pada kejohanan renang Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional tahun lepas.

"Saya rasa kecewa sikit kerana tidak mencapai paras kelayakan Sukan SEA bagi acara kuak lentang 200m," katanya.

Masa kelayakan bagi acara kuak lentang 200m wanita Sukan SEA ialah 2:20.84s.

Kontinjen Malaysia juga menang lapan pingat perak dan lima gangsa hari ini.

Selepas dua hari bertanding, Malaysia kekal di tangga kedua dengan memenangi sejumlah 18 pingat emas, 16 perak dan 10 gangsa, manakala Thailand kekal di tangga teratas dengan 28 emas, 21 perak dan 23 gangsa. Singapura menduduki tempat ketiga dengan 10 emas, 10 perak dan 14 gangsa.

Sebanyak 32 acara akan dipertandingkan pada hari terakhir kejohanan, esok. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan