Atlet renang Malaysia rangkul 11 emas, cipta lima rekod baru

Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia menghampiri sasaran 15 pingat emas dengan merangkul 11 pingat emas pada hari pertama Kejohanan Renang Peringkat Umur Asia Tenggara (SEA) kali ke-33 yang diadakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Pada hari pembukaan kejohanan, atlet renang muda Malaysia meraih 11 pingat emas dan mencipta lima rekod baru kejohanan.

"Ia merupakan pencapaian terbaik bagi perenang muda kita. Mereka hampir mencapai sasaran keseluruhan yang ditetapkan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) pada hari pembukaan itu sendiri.

"Setakat ini, kita hanya tiga emas di belakang Thailand dan sasaran dan kami harap mereka dapat kekalkan prestasi dalam dua hari berikutnya," kata Setiausaha Kehormat ASUM Edwin Chong kepada Bernama selepas acara itu.

Selepas selesai saingan hari ini, Malaysia menduduki tempat kedua dengan 11 emas, lapan perak dan lima gangsa manakala Thailand mendahului saingan dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan lapan gangsa.

Singapura menduduki tempat ketiga dengan lima pingat emas, enam perak dan enam gangsa.

Kelima-lima rekod baru kejohanan dicipta oleh Christina Loh Yen Ling (Kumpulan 2 - Perempuan 50m Kuak Dada), Ian James Barr (Kumpulan 2 (13-14 tahun) - Lelaki 100m Kuak Lentang), Cheng Karmen (Kumpulan 2 (13-14 tahun) - Perempuan 100m Kuak Lentang), Adam Lim (Kumpulan 2 (13-14 tahun) - Lelaki 100m Kuak Kupu-kupu) dan Hii Siew Siew (Kumpulan 2 - Perempuan 100m Kuak Kupu-kupu).

Bagi Adam Lim, 14, yang akan menyambut hari lahir dalam masa dua minggu, mencipta rekod baru adalah sesuatu yang menjadikannya teruja kerana ia ternyata hadiah hari lahir lebih awal diterimanya.

Beliau mencatat 58.55 saat untuk memadam rekod 58.60saat yang disandang atlet renang Thailand, Nattapon Chavanichwoot sejak 1993.

"Saya amat gembira dan teruja. Sebenarnya, saya amat yakin memecah rekod baru kejohanan kerana masa terbaik saya ialah 58.44saat, yang dibut semasa kejohanan peringkat umur yang diadakan di Shah Alam, April lepas," katanya.

"Saya harap dapat pecah satu lagi rekod esok dalam acara 50m kuak kupu-kupu," kata Lim yang berharap dapat melakukan yang terbaik dalam Sukan remaja Asia mulai 29 Jun hingga 7 Julai.

Sementara itu, Cheng Karmen juga gembira dengan pencapaiannya dan berharap akan dipilih menyertai Sukan SEA Laos pada Disember.

"Saya amat gembira kerana saya mampu membaiki catatan masa dan mencipta rekod baru.Sudah agak lama sejak saya ingin membaiki kepantasan saya dalam acara 100m kuak lentang. Untuk itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para julrutaih dan ibu bapa saya kerana menyokong saya.

"Saya harap dapat mencatat keputusan lebih baik dalam pertandingan lain dan layak bagi menyertai acara 200m kuak lentang dalam Sukan SEA," kata pelajar SMJK Ave Maria Convent di Ipoh.

Cheng adalah antara 12 atlet renang yang dipilih menyertai Sukan Remaja Asia.

Tiga puluh dua acara lagi akan dipertandingkan esok. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan