Azizulhasni duta ikon Jelajah Malaysia 2009

Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak Kejohanan Basikal Trek Dunia, Azizulhasni Awang, dilantik sebagai ikon perlumbaan berbasikal Jelajah Malaysia 2009 (JM 2009), yang akan berlangsung dari 19 hingga 26 April ini.

Pengarah Operasi Ten Speed Sdn Bhd, Emir Abdul Jalal berkata pelantikan Azizulhasni akan menjadi tarikan utama kejohanan kali ini.

"Azizulhasni akan mengikuti acara JM 2009 sepanjang lapan hari perlumbaan itu berlangsung dan kita berharap kehadiran beliau dapat menambah keceriaan dan menarik lebih ramai peminat sukan berbasikal untuk menyaksikan dan memberi sokongan kepada acara jelajah berbasikal tertua di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas menerima penajaan daripada Permanis Sdn Bhd, pengedar rasmi minuman isotonik, Revive, di sini hari ini.

Selain itu, Emir berkata buat pertama kalinya pihak penganjur akan menyediakan perarakan 18 buah kenderaan untuk menambah keceriaan dengan memberi peluang kepada penaja-penaja perlumbaan mempromosi produk mereka.

Katanya, kenderaan yang dihias dengan dengan motif-motif pihak penaja akan bergerak sejam lebih awal daripada perlumbaan dimulakan di laluan yang sama yang akan dilalui pelumba.

Mengenai persiapan pihak penganjur bagi menghadapi JM 2009 yang tinggal sembilan hari lagi, Emir berkata setakat ini persiapan sudah 90 peratus siap dan hanya tinggal beberapa perkara kecil yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Dalam mesyuarat terakhir ketua-ketua jabatan pada Selasa lepas, kesemua jabatan dan agensi terlibat menyuarakan kesediaan penuh untuk memulakan kerja dalam JM tahun ini.

"Hanya mesyuarat penyelarasan di peringkat negeri sahaja yang sedang berlangsung dan setakat ini kesemua kerajaan negeri memberikan sokongan yang begitu positif kepada acara ini," katanya.

Perlumbaan JM-2009 yang berstatus 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu akan meliputi jarak perlumbaan sejauh 1,240km. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan