OKU berbasikal dari Miri ke Kuching

Diterbitkan: Selasa, 7 April 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Junaidi Pauzan, 55, yang kehilangan kaki kanannya dalam satu kemalangan lima tahun lepas, bakal mencipta satu rekod peribadi dengan memulakan ekspedisi solo berbasikal dari Bandaraya Miri ke sini, sejauh 900 kilometer pada Julai depan.

Junaidi, yang pernah mewakili Sarawak dalam Sukan Paralimpik akan memulakan perjalanan dari Pejabat Residen Miri pada 1 Julai menuju Bintulu, Sibu, Sarikei, Sri Aman dan Serian sebelum berakhir di Tebingan Kuching, pada 21 Julai.

Beliau dijangka mengambil masa lapan hingga sembilan jam berkayuh setiap 50 hingga 60 kilometer setiap hari.

Junaidi pernah mencipta rekod peribadi dengan berenang merentasi Laut China Selatan dari Pulau Satang Besar ke Pantai Santubong, sejauh 19 batu dalam masa 8 jam 30 minit pada tahun lalu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Damai merangkap Pengerusi Program Ekspedisi Solo Orang Kurang Upaya 2009, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ekspedisi itu diadakan untuk menyuntik semangat generasi muda supaya yakin dan bersemangat untuk mengharungi cabaran hidup.

"Ekspedisi ini diadakan untuk menjadikan Junaidi contoh kepada anakanak muda supaya mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk berjaya dalam kehidupan.

"Selain itu, ekspedisi ini juga bertujuan membuktikan bahawa golongan OKU mampu menyahut cabaran seperti orang biasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan