PLJ 2018: Ampang Jaya BC selesa tamatkan saingan minggu kedua - Raket | mStar

PLJ 2018: Ampang Jaya BC selesa tamatkan saingan minggu kedua

Diterbitkan: Selasa, 30 Oktober 2018 11:55 AM

Aksi beregu campuran Ampang Jaya BC, Chia Wei Jia- Goh Yi Xuan dalam saingan Purple League Junior di Sports Arena Puchong Ahad lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya menguasai Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) apabila mencatatkan kemenangan 13-5 ke atas Rawang BC dan pada sebelah petang, mereka seri 9-9 bertemu Kepong BC di Sports Arena Puchong Ahad lalu.

Pasukan Ampang Jaya BC kini mengutip 72 mata daripada enam perlawanan, Bandar Maharani BC di tangga kedua dengan 65 mata (selepas enam perlawanan), diikuti Bukit Cheras BC di tangga ketiga dengan 61 mata (selepas lima perlawanan), dan Kepong BC, di kedudukan keempat dengan 52 mata (selepas lima perlawanan).

Dalam aksi sengit menentang Kepong BC yang merupakan antara pasukan pencabar kejuaraan musim ini, Ampang Jaya BC terlebih dahulu menang dalam aksi perseorangan lelaki.

Mengulas mengenai pasukan Ampang Jaya BC, jurulatihnya Ho Khek Mong berkata dia berpuas hati dengan aksi anak buahnya kerana mereka sudah mula mempamerkan taring.

Khek Mong berkata: “Kita memang melakukan persediaan rapi untuk menghadapi saingan Purple League Junior. Jadi, apabila mereka mendapatkan keputusan yang baik dan kini mendahului liga, ia adalah sesuatu yang memuaskan hati saya.

“Apabila kita berada di atas, ini adalah sesuatu yang positif kepada pasukan. Saya yakin pemain tahu bagaimana untuk menghadapi situasi bagi kita terus kekal di atas puncak. Pemain-pemain perlu terus menjarakkan kedudukan dengan memenangi mata maksimum kerana Bukit Cheras BC adalah salah satu lawan kita di minggu terakhir nanti."

Keputusan lain di sebelah petang Ahad lalu, Bandar Maharani BC membelasah Petaling Jaya BC 15-1, Puchong United menewaskan Petaling BC 12-7, dan Cheras BC menang 9-7 ke atas Rawang BC.

Dalam saingan Divisyen Dua PLJ yang berlangsung pada tengah hari Ahad lalu, Amanjaya BC melebarkan kedudukan mereka di atas puncak saingan apabila mereka menang besar 12-3 ke atas Georgetown BC.

Mereka mengumpul 77 pungutan mata kemenangan secara keseluruhan diikuti Kuantan Synergy BC yang berada di tangga kedua dengan 71 mata selepas enam perlawanan.

PLJ akan menuju minggu terakhir dengan baki beberapa aksi sahaja lagi pada 3 dan 4 November ini di The Challenger Sports Centre Ampang bagi menentukan pasukan mana bakal mendominasi liga badminton remaja musim ini.

Tags / Kata Kunci: PLJ2018 , Ampang Jaya BC
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan