PLJ 2018: Petaling BC tidak bimbang aksi hambar, proses bentuk pemain remaja - Raket | mStar

PLJ 2018: Petaling BC tidak bimbang aksi hambar, proses bentuk pemain remaja

Diterbitkan: Jumaat, 19 Oktober 2018 12:53 PM

Pasukan Petaling BC

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara dua kali Purple League Junior (PLJ), pasukan Kelab Badminton (BC) Petaling tidak bimbang biarpun memulakan aksi PLJ musim ini dengan keputusan yang kurang memberangsangkan.

Setelah melalui tiga perlawanan, pasukan Petaling BC kendalian bekas pemain kebangsaan, Ismail Saman tewas tiga aksi masing-masing kepada Rawang BC (7-10), Kepong BC (7-13), dan Bukit Cheras BC (3-13).

Bagaimanapun, Ismail tidak mahu menekan butang panik sebaliknya menganggap PLJ musim ini adalah medan untuk bagi membentuk semula skuad remajanya setelah ramai pemain dahulu telah berganjak usia ke peringkat senior.

“Sebenarnya, ini adalah proses untuk membangunkan pemain kita semula. Kita boleh lihat ramai pemain remaja kita yang dahulunya beraksi dalam Purple League Junior kini sudah melepasi had usia dan telah mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Pemain-pemain baru yang mengggalas tugas masih muda dan mereka agak kurang daripada segi pengalaman. Oleh itu, PLJ kali ini merupakan platform untuk mereka mencari pengalaman kerana sasaran kita ialah mereka bakal menyerlah dalam 2-3 tahun lagi,” jelasnyanya.

Petaling BC pernah melahirkan beberapa pemain remaja yang mencipta nama di peringkat kebangsaan.

Antaranya adalah Chen Tang Jie, Man Wei Chong (Malaysia) serta Chasinee Korepap yang kini merupakan pemain remaja nombor dua Thailand.

“Jadi ini adalah satu perancangan yang berbentuk jangka masa panjang kepada Petaling BC. Pemain-pemain rata-ratanya adalah berusia 16 tahun. Jika kita lihat pada permainan mereka, sebenarnya pemain muda ini beraksi dengan bagus cuma pengalaman yang membezakan mereka.

“Saya percaya mereka akan lebih matang dalam sedikit masa lagi. Antara pemain yang saya percaya akan menyerlah nanti adalah seperti Par Tien Ann, Yee Sin Foong, Mohamed Hafiz Sikkandar dan ramai lagi.

"Perlu beri mereka sedikit masa untuk mendapatkan lebih pendedahan," tambahnya.

Aksi PLJ 2018 akan diteruskan di Sports Arena Puchong untuk pusingan kedua (27 dan 28 Oktober) dan di The Challenger Sports Centre Ampang pada 3 dan 4 November ini.

Tags / Kata Kunci: Purple League Junior , Petaling BC
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan