Purple League makin kukuh jadi liga badminton utama negara - Raket | mStar

Purple League makin kukuh jadi liga badminton utama negara

Diterbitkan: Rabu, 26 September 2018 8:59 PM

Jack Koh (duduk kiri) dan Lim Kim Heng (duduk kanan),menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) sambil disaksikan Pengarah Purple League Malaysia Lim Yau Young (berdiri kiri), Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong (berdiri tengah), serta Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (berdiri kanan) Majlis Pelancaran Senheng Purple League 2018/19, Pelancaran Purple League Corporate, dan Majlis Memperkenalkan Penaja Utama liga itu di Grand Salon, Palace of The Golden Horses pada Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bakal memasuki musim kelima, Senheng Purple League yakin berada pada landasan yang tepat untuk terus menjadi liga badminton utama di negara ini.

Selepas mengharungi empat musim berturut-turut, kualiti liga dibuktikan menerusi sokongan padu daripada penyokong, mendapat penajaan-penajaan daripada pelbagai syarikat serta sentiasa disertai pemain-pemain berkelas dunia.

Bagi musim baharu 2018/19, lapan pasukan bakal bersaing untuk merebut takhta kejuaraan Senheng Purple League yang dijadualkan akan membuka tirainya pada bulan Disember ini.

Sebelum itu, saingan Purple League Junior akan bermula lebih awal dengan 19 pasukan sudah pun mengesahkan penyertaan untuk liga peringkat remaja.

Purple League Junior telah banyak membantu pemain muda mendapat pendedahan awal bersaing dengan semua pemain remaja terbaik dari pelbagai kelab di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jack Koh, yang juga pengasas Purple League Malaysia berkata, untuk Purple League sampai ke tahap ini, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk digapai.

"Dengan  sokongan  semua pihak daripada peminat, penaja, media hinggalah ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Purple League boleh dianggap telah berada satu tahap yang membanggakan.

“Sudah pasti, liga ini akan menoleh ke depan untuk terus membawa nama Malaysia lebih terkenal di mata dunia terutamanya melalui sukan badminton.

"Kami juga mengharapkan sokongan padu berterusan daripada semua pihak kerana kemajuan liga badminton di sesebuah negara juga melambangkan kehebatan sukan ini di negara tersebut.

“Bagi menghargai pihak-pihak korporat yang sentiasa bersama  Purple League juga, kami akan menganjurkan Purple League Corporate kerana ingin menyediakan landasan terbaik kepada syarikat korporat yang mahu lebih dekat dengan sukan badminton,” jelasnya pada majlis pelancaran Senheng Purple League 2018/19 pada Rabu.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Senheng Lim Kim Heng berkata pihaknya sentiasa menyokong penganjuran aktiviti sukan di negara ini.

"Sejak dulu lagi Senheng memainkan peranan dalam memberikan sokongan bagi memastikan pelbagai aktiviti sukan dapat berjalan sempurna. Kami berasakan ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk menjadi penyokong terhadap bidang sukan  kerana bidang ini sering mencetuskan kebanggaan.

“Jadi, di Senheng, kami sudah tentulah menyokong aura positif dan saya berharap penajaan ini akan terus menyemarakkan lagi sokongan masyarakat terhadap sukan badminton khususnya Purple League,” katanya.

Edisi kelima Senheng Purple League 2018/19 akan membuka tirainya di Gem In Mall, Cyberjaya pada 20 Disember ini sementara pusingan akhir bakal diadakan di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada Januari 2019.

Purple League Junior pula dijangka bermula lebih awal iaitu pada 13 Oktober ini.

Antara pemain terkenal dunia yang pernah beraksi dalam Senheng Purple League adalah Datuk Lee Chong Wei, Chou Tien Chen, Zhao Yunlei, Tai Tzu Ying, Christina Pedersen, Markis Kido, Tommy Sugiarto, Lee Yong Dae dan ramai lagi.

Tags / Kata Kunci: Senheng Purple League
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan