KBS tunggu penjelasan BAM berkaitan wang kemenangan pemain - Raket | mStar

KBS tunggu penjelasan BAM berkaitan wang kemenangan pemain

Diterbitkan: Rabu, 5 September 2018 3:41 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan sedang menunggu penjelasan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhubung laporan berita mengenai beberapa pemain badminton negara yang belum menerima wang kemenangan daripada pelbagai kejohanan yang disertai sejak Januari tahun ini.

Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya perlu mendapatkan perincian daripada persatuan sukan terbabit sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenainya.

“Tidak adillah jika kita tidak mendapatkan penjelasan dari mereka (BAM) tetapi nasihat saya kepada semua persatuan sukan ialah kita mesti menunaikan amanah dan tanggungjawab kita sebagai satu badan pengurusan sukan yang telus dan adil.

"Jangan ada isu-isu dan aduan tentang kewangan dan ketirisan. Saya tidak kata BAM bersalah dalam isu ini sebab kita kena tunggu penjelasan daripada mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu ketika ditanya mengenai laporan berita yang disiarkan sebuah portal berita.

Sim berkata kerajaan komited untuk membuat pembaharuan dan memastikan sukan negara terus berkembang, namun menegaskan badan-badan dan persatuan sukan juga perlu membuat perubahan termasuk dalam aspek tadbir urus.

Laporan berita bertajuk 'Players blast BAM over money' itu menyatakan beberapa pemain badminton negara mendakwa BAM belum menyerahkan wang kemenangan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM100,000.- Bernama

Tags / Kata Kunci: KBS , BAM , wang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan