Tiada rancangan bantu Zulfadli, Chun Seang - Raket | mStar

Tiada rancangan bantu Zulfadli, Chun Seang

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2018 3:41 PM

Mohamad Norza Zakaria.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada untuk membantu dua pemain profesional negara yang dikenakan hukuman gantung dan denda oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana mengatur perlawanan.

Presiden BAM, Datuk seri Mohamad Norza Zakaria berkata badan induk kebangsaan itu ketika ini tidak mahu membuat sebarang spekulasi tetapi akan membiarkan kepada pemain berkenaan, Zulfadli Zulkifli dan Tan Chun Seang untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya fikir mereka tahu kedudukan masing-masing. Saya melihat satu laporan yang menyatakan bahawa Zulfadli memberitahu bahawa orang perlu memahami dan mendengar kisahnya. Oleh itu, biar kita beri peluang kepadanya terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C and T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini, Jumaat.

Terdahulu, BWF mengenakan hukuman gantung 20 tahun kepada Zulfadli dan 15 tahun kepada Chun Seang berkuat kuasa 12 Jan lalu selepas didapati bersalah mengatur perlawanan.

Kedua-dua pemain tersebut turut didenda masing-masing US$25,000 (RM98,176) dan US$15,000 (RM58,905).

Mohamad Norza berkata kedua-dua pemain itu perlu melalui proses rayuan dan peguam mereka akan membincangkan apa yang terbaik untuk mereka.

"Biar kita tunggu untuk itu,” katanya ketika ditanya sama ada BAM akan memberi bantuan kewangan kepada dua pemain itu bagi membayar hukuman denda yang dikenakan oleh BWF. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: BAM , Zulfadli Zulkifli , Tan Chun Seang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan