Dua pemain diberi amaran luah perasaan di laman sosial - Raket | mStar

Dua pemain diberi amaran luah perasaan di laman sosial

Diterbitkan: Sabtu, 28 April 2018 6:52 PM

Mohamad Norza memberi amaran pertama kepada dua pemainnya.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi surat amaran kepada dua pemain beregu negara selepas didapati melakukan kesalahan yang boleh mencalar imej sukan badminton negara.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Goh V Shem dan Goh Soon Huat menjadi pemain pertama diberi amaran ekoran tindakan mereka itu tidak mencerminkan sikap yang baik selaku pemain senior negara.

Beliau berkata BAM tidak pernah menghalang pemain bawah naungan mereka terlibat secara aktif di media sosial tetapi mereka perlu patuh kepada garis panduan yang ditetapkan.

“Sebagai pemain, mereka mempunyai kontrak dengan BAM, tindakan seperti ini tidak seharusnya berlaku dan tidak kira sama ada mereka ini pemain pelapis, pemain muda atau pemain senior, mereka perlu patuh kepada peraturan.

"Kami sama sekali tidak pernah menghalang pemain untuk terlibat dengan media sosial tetapi perlu mengikut garis panduan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan BAM ke-73 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Sabtu.

V Shem dan Soon Huat dikenakan tindakan selepas mereka memuat naik satu entri di laman sosial Instagram masing-masing yang mempertikai ketidakhadiran orang kenamaan ketika aksi penentuan pingat gangsa pada Sukan Komanwel Gold Coast, dua minggu lepas.

Menerusi entri itu, Soon Huat menyatakan: "Adakah perlawanan pingat gangsa tidak penting?" manakala V Shem pula menyatakan: "Pemain berjuang untuk meraih pingat gangsa tetapi orang-orang kenamaan hilang selepas kami tewas di separuh akhir."

Sementara itu, Mohamad Norza berkata pengumuman barisan pemain yang akan mewakili negara pada Piala Thomas dan Uber akan dibuat pada 3 Mei semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM.

Katanya kemungkinan besar akan berlaku beberapa pertukaran pemain untuk beraksi pada kejohanan itu yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand dari 20 hingga 27 Mei.

"Pemain akan dinilai semasa mesyuarat tersebut dan mungkin ada perubahan nama tetapi kita tunggu pada hari itu nanti (3 Mei),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata barisan pemain negara termasuk pemain muda akan menjalani latihan di wilayah Ehime di Pulau Shikoku, Jepun sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Katanya BAM dan pihak berkuasa wilayah itu akan menandatangani satu perjanjian persefahaman bagi memuktamadkan perkara tersebut pada Julai ini.

Beliau berkata secara dasarnya, semua perbelanjaan  termasuk penginapan akan ditanggung pihak berkuasa wilayah berkenaan dengan segala kemudahan disediakan untuk tujuan latihan.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Goh V Shem , Goh Soon Huat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan