Skuad negara gagal pertahan emas di Gold Coast - Raket | mStar

Skuad negara gagal pertahan emas di Gold Coast

Diterbitkan: Isnin, 9 April 2018 8:50 PM

Foto dari Bernama.

(Ubah saiz teks)

GOLD COAST: Skuad badminton negara gagal mempertahankan pingat emas apabila tewas 1-3 kepada India dalam perlawanan akhir acara berpasukan campuran Sukan Komanwel 2018, di sini pada Isnin.

Dalam pertembungan akhir di Carrara Sports and Leisure Centre, gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menyumbang mata pertama apabila tewas kepada pasangan Satwik Rankireddy-Ashwini Ponnappa 14-21, 21-15, 15-21, meletakkan India mendahului 1-0.Liu Ying ketika ditemui berkata mereka agak terjejas dengan teknik permainan pasangan India yang tiba-tiba menukar hantaran servis belakang.

"Masa kita mendahului, mereka tiba-tiba tukar teknik dalam servis, kita sedar perkara itu tapi kita tidak dapat selesaikan masalah itu dengan bagus. Kita tidak pernah main dengan mereka dan ini pertama kali kita berdepan mereka," katanya.

Harapan untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila Datuk Lee Chong Wei  terpaksa akur dengan permainan pantas pemain di ranking kedua dunia, K. Srikanth dan tewas 17-21, 14-21.

Foto dari AP.

"Srikanth main dengan laju hari ini dan saya tidak boleh ikut rentak dan bola banyak terlepas daripada saya. Permainan dia juga luar biasa, kualiti bola dan juga kurang buat kesilapan.  

"Dalam acara berpasukan, setiap mata adalah penting. Kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana dalam acara berpasukan kita kalah sama-sama kita menang sama-sama. Apa yang penting kita jangan sedih, kita kembali fokus dalam acara individu," katanya.

Beregu lelaki negara membuka kembali peluang Malaysia apabila mencuri satu mata selepas gandingan pingat perak Sukan Olimpik Rio Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan pasangan Satwik Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty 21-15, 22-20.

Pemain perseorangan wanita negara Soniia Cheah yang mengalami kecederaan kecil di jari tidak memberi kemenangan mudah kepada pemain di ranking ke-12, Saina Nehwal apabila mengheret kepada perlawanan rubber set.

Cuba bangkit di set kedua selepas tewas set pertama 11-21, Soniia sedikit memberi harapan kepada skuad negara apabila menang set kedua 21-19, bagaimanapun terpaksa tunduk 9-21.  

Dengan kekalahan itu, skuad Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada penampilan edisi 2018 kali ini. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan Komanwel 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan