Malaysia hanya selangkah pertahan emas - Raket | mStar

Malaysia hanya selangkah pertahan emas

Diterbitkan: Ahad, 8 April 2018 9:17 PM

Foto dari Bernama.

(Ubah saiz teks)

GOLD COAST: Skuad badminton negara hanya selangkah sahaja lagi untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan campuran apabila bertemu India di final pada temasya Sukan Komanwel di sini, Isnin.

Pada aksi separuh akhir di Carrara Sports  and  Leisure Centre, pada Ahad, skuad negara yang diterajui oleh Datuk Lee Chong Wei dengan mudah mengalahkan England 3-0.

Sebelum itu, India menempah slot final dengan menewaskan Singapura 3-1.

Mata pertama buat Malaysia dikutip melalui beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang dengan mudah mengalahkan Chris Langridge-Marcus Ellis 21-9 dan 21-11, dalam pertarungan singkat selama 32 minit.  

Soniia Cheah, perseorangan  wanita negara tunggal beraksi di Sukan Komanwel kali ini,  dipaksa berhempas pulas selama 67 minit sebelum mengalahkan Chleo Birch, dalam rubber-set 21-17, 15-21, 21-18.  

Chong Wei menyumbang mata kemenangan buat pasukan negara apabila menewaskan Rajiv Ouseph, 21-18, 21-16.  

Chong Wei yang ditemui selepas perlawanan itu, berkata barisan pemain negara memerlukan rehat yang secukupnya bagi menjamin prestasi cemerlang apabila berdepan dengan India.

“Perlawanan hari ini paling sengit buat saya sejak beraksi di  sini...ia bagus untuk persediaan bertemu India. Saya percaya ia bukan satu perlawanan yang mudah.  

“Kami kena  lebih fokus kerana kita memang mengharapkan pingat emas pertama dari sukan badminton. Kami akan cuba yang terbaik dan tidak kisah macam mana situasi  esok, kami akan bersedia untuk mengharapkan tentangan paling sengit,” katanya.  

Ditanya mengenai lawannya pada Isnin, Chong Wei, selaku pemain nombor enam dunia, mengakui K. Srikanth, sebagai pemain nombor dua dunia dan H.S. Pannoy, ranking ke-12 dunia, sudah pasti akan memberi cabaran yang sebenar kepadanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak gusar kerana sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi antara dua pemain India itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan Komanwel 2018
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan