Chong Wei idam jadi pemain Malaysia paling berjaya - Raket | mStar

Chong Wei idam jadi pemain Malaysia paling berjaya

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2018 3:13 PM

Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei (kiri) menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan latihan sempena Sukan Komanwel 2018. - Bernama

(Ubah saiz teks)

GOLD COAST: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengidamkan untuk muncul sebagai atlet Malaysia paling berjaya dalam Sukan Komanwel yang berlangsung di Australia.

Anak jati Pulau Pinang ini yang telah pun memenangi empat pingat emas Sukan Komanwel, menyatakan dengan jelas bahawa beliau datang ke Gold Coast dengan matlamat untuk melakar sejarah dan membawa pulang dua pingat emas.

Sebagai rekod, Chong Wei memenangi pingat emas perseorangan dan berpasukan campuran dalam Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia, dan Komanwel Delhi pada 2010.

“Saya harap dapat mempertahankan pingat emas untuk negara saya. Saya akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk memenangi dua emas dalam acara berpasukan dan perseorangan.

“Saya berasa sangat gembira dapat datang dan beraksi dalam Sukan Komanwel buat kali ketiga. Mudah-mudahan saya akan menikmati kunjungan dua minggu ke Gold Coast ini,” katanya seperti yang dipetik laman sesawang Sukan Komanwel Gold Coast 2018, gc2018.com.

Ketika ini, rakan sepasukan beliau, Koo Kien Keat yang beraksi dalam acara beregu, merupakan atlet Malaysia paling berjaya dalam temasya berkenaan dengan lima pingat emas.

Badminton akan berlangsung di Carrara Sports and Leisure Centre dari 5-9 April bagi acara berpasukan campuran diikuti acara perseorangan dari 10-15 April. Bagi acara berpasukan campuran, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Kanada, Seychelles dan Ghana. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Sukan Komanwel
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan