Rasuah: Dua Pemain Badminton Disiasat - Raket | mStar

Rasuah: Dua Pemain Badminton Disiasat

Diterbitkan: Selasa, 13 Februari 2018 5:00 PM

(Ubah saiz teks)

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan dua pemain badminton sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemain tersebut bukan dibawah naungan BAM dan badan induk itu masih menunggu laporan terperinci BWF sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan nama dan maklumat terperinci berhubung dua pemain tersebut kerana mahu menghormati siasatan BWF.

“Tapi kami tidak akan berkompromi jika dakwaan ini benar-benar berlaku,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (BAM), Bukit Kiara, Selasa.

Dalam laporan media hari ini, BWF sudah menggantung sementara pemain terbabit bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

Badan induk badminton dunia itu mula memantau pergerakan pemain yang kali terakhir menyertai kejohanan antarabangsa di negara jiran sejak Februari tahun lalu dan tindakan penggantungan diambil awal tahun ini selepas kegiatan mengatur perlawanan semakin ketara.

Kes ini adalah yang pertama membabitkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

Mengikut peraturan ditetapkan BWF, mana-mana pemain didapati bersalah terbabit dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.-SinarHarian

Tags / Kata Kunci: BAM , Norza , BWF
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan