Benam Taiwan 5-0, Malaysia Layak Ke Suku Akhir - Raket | mStar

Benam Taiwan 5-0, Malaysia Layak Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 9 Februari 2018 7:33 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Skuad lelaki negara menempah tempat ke suku akhir selepas membenam Taiwan 5-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Khamis.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia berada di kedudukan teratas Kumpulan C selepas mencatat dua kemenangan. 

Skuad negara meraih kemenangan pertama apabila menumpaskan Myanmar 5-0 pada Khamis, selepas tumpas 2-3 kepada Thailand pada perlawanan pembukaan, Isnin lepas. 

Pemain perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum menyumbangkan mata pertama Malaysia, selepas menumpaskan Wang Tzu Wei 17-21, 21-13, 21-15 dalam masa 57 minit permainan.  

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menyumbangkan mata kedua negara dengan kemenangan 14-21, 21-19, 21-16 dalam masa 56 minit ke atas Lee Jhe Huei-Lee Yang, sebelum Lee Zii Jia memastikan kemenangan Malaysia dengan menumpaskan Hsu Jen Hao 21-16, 21-13 untuk meraih mata ketiga.

Pemain perseorangan negara Lee Zii Jia dipeluk Ketua Jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek selepas menewaskan Hsu Jen Hao dari Taiwan. - Bernama

Mata keempat Malaysia diperoleh menerusi beregu kedua, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menewaskan Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-14, 20-22, 21-14. 

"Pada perlawanan hari ini, kami tidak fikir untuk habiskan permainan dengan segera walaupun tahu kita sudah menang 3-0. Kita mahu menang perlawanan ini secara serius kerana jika kita menang 3-2, kita perlu mengira jumlah mata yang boleh menjejaskan peluang Malaysia,” kata Yew Sin.    

Pemain perseorangan ketiga, Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara selepas mencatat kemenangan 21-19, 21-15 ke atas Lin Yu Hsien. 

 Berikutan jumlah mata diperoleh, Malaysia muncul juara kumpulan, sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir. 

BATC 2018 adalah pusingan kelayakan ke pusingan akhir Piala Thomas/Uber 2018 di Bangkok, Thailand, pada Mei depan. 

Malaysia perlu mara ke separuh akhir BATC 2018 untuk layak secara merit beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas.  - Bernama

Tags / Kata Kunci: BATC
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan