Malaysia Masters: V Shem-Wee Kiong Ke Final - Raket | mStar

Malaysia Masters: V Shem-Wee Kiong Ke Final

Diterbitkan: Sabtu, 20 Januari 2018 9:47 PM

V Shem (kanan) dan Wee Kiong mara final Malaysia Masters pada Ahad. Foto: S.S.Kanesan/The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selangkah lagi untuk merangkul gelaran pertama musim ini selepas meraih slot final dengan mengetepikan cabaran beregu Taiwan pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters pada Sabtu.

Dalam perlawanan separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pemenang  pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu, yang baharu digandingkan semula itu, mengekalkan rentak agresif untuk menewaskan pilihan kelapan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin 21-16, 21-17, dalam masa 34 minit.

Kemenangan mereka juga turut dikongsikan bersama peminat badminton yang tidak putus-putus memberikan sorakan gemuruh sehingga tamat perlawanan.

“Kali ini rentak permainan kami bertambah baik harap dapat diteruskan sehingga final esok. Kami mahu kembalikan prestasi yang cemerlang dan berharap tahun ini lebih banyak keputusan yang positif dan konsisten.

"Bagi saya juga, kami telah memulakan tahun ini dengan baik,” kata V Shem kepada pemberita selepas perlawanan.

Menurut Wee Kiong, beliau tidak mahu menoleh kebelakang sebaliknya mengambil iktibar dengan prestasi merosot mereka tahun lalu dan kembali dengan pencapaian yang lebih cemerlang.

Menanti mereka di final, adalah beregu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang menewaskan pilihan kelima dari Denmark, Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding 15-21, 21-16, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

“Indonesia juga hebat, kami tidak boleh ambil mudah kerana prestasi beregu mereka juga sudah meningkat dan kompetitif,” kata Wee Kiong.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Badminton , Malaysia Masters

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan