Ayuh Pemain Muda, Buktikan Kemampuan Anda Pada 2018! - Raket | mStar

Ayuh Pemain Muda, Buktikan Kemampuan Anda Pada 2018!

Diterbitkan: Sabtu, 30 Disember 2017 5:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara terutamanya pemain muda perlu mengubah mentaliti serta meletakkan sasaran tinggi dalam diri masing-masing supaya tidak berada di takuk lama.

Jurulatih silih berganti, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) namun prestasi pemain muda masih sama biarpun pelbagai peluang telah diberikan.

Menurut ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek kesemua pemain muda di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berbakat dan mempunyai masa depan cerah sekiranya mereka mengambil inisiatif mempelbagaikan kelebihan masing-masing di gelanggang.

"Kebanyakan pemain di sini kesemuanya boleh bermain tetapi modal taktikal seperti bagaimana untuk cari point, hindarkan diri daripada serangan lawan, mengambil kelekaan pihak lawan, modal itu yang tiada.

"Semua pemain perlukan perhatian, diberi peluang bermain dan mahu menjadi juara. Mereka perlu ada sasaran dalam hidup dan karier mereka jika mahu berjaya," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Misbun berkata beliau sering mengingatkan anak buahnya sekiranya mereka mahu menjadi pemain senior, hanya dua pilihan yang ada iaitu sama ada mahu berkerja keras atau ketinggalan.

"Kalau kamu (pemain) mahu menjadi pemain senior, anda perlu berusaha kalau tidak kamu akan tertinggal, jika kamu ketinggalan saya tidak peduli," jelasnya.

Misbun berkata kesemua pemain perlu diberikan tekanan dalam latihan supaya mereka tahu matlamat yang perlu dicapai.Jelasnya pemain negara boleh membuktikan kemampuan mereka setanding pesaing mereka yang sedang meningkat naik sekiranya mereka menghargai ilmu yang diberikan.

"Pemain luar yang sanggup berlatih di sini lebih memanfaatkan ilmu yang diberikan kerana mereka membeli ilmu itu. Kalau saya cakap pukul tiga pagi turun latihan, mereka ikut dan bersungguh-sungguh," katanya.

Pemain perseorangan lelaki seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Lim Chi Wing, Chong Yee Han, Soong Joo Ven antara bakat yang perlu digilap dan diketengahkan oleh BAM.

Misbun bagaimanapun mengakui untuk melihat hasil daripada pemain-pemain muda itu memerlukan masa dan beliau sendiri percaya dengan kemampuan anak buahnya itu.

Tidak dinafikan sehingga saat ini, Malaysia masih meletakkan harapan tinggi kepada Datuk Lee Chong Wei untuk meneruskan kegemilangan dalam sukan badminton.

Biarpun mengalami prestasi naik turun, Chong Wei berusia 35 tahun merupakan seorang pemain yang kental menghadapi cabaran sukan badminton sepanjang tahun ini dengan memberikan keputusan cemerlang apabila menutup tirai tahun ini menduduki ranking kedua dunia.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Datuk Misbun Sidek
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan