Terbuka Hong Kong: Chong Wei Ke Suku Akhir - Raket | mStar

Terbuka Hong Kong: Chong Wei Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 24 November 2017 8:09 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum pada Khamis.

Pemain pilihan kelapan itu tewas di set pertama sebelum bangkit di dua set seterusnya untuk mencatat kemenangan 21-23, 21-11 dan 21-12 ke atas pemain senior tuan rumah, Wei Nan di pusingan kedua, demikian menurut laman web Siri Super Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldsuperseries.com.

Chong Wei yang merupakan juara empat kali pada kejohanan berkenaan, bagaimanpun bakal berdepan tugas getir di suku akhir apabila dijadual bertemu pilihan kedua, Son Wan Ho dari Korea Selatan, yang menewaskan Tommy Sugiarto dari Indonesia; 11-21, 21-16 dan 21-12 pada satu lagi aksi pusingan kedua.

Pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin/Tan Wee Kiong juga menempah slot ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan ‘bidan terjun', Tan Boon Heong/Hendra Setiawan (Malaysia/Indonesia); 17-21, 22-20 dan 21-12.

Bekas pemain negara, Lim Khim Wah yang bergandingan dengan bekas juara Asia, Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan, pula tersingkir daripada kejohanan itu selepas tewas 20-22, 21-18 dan 19-21 kepada pilihan keempat, Li Junhui/Liu Yuchen dari China.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita juga berakhir selepas satu-satunya pasangan negara yang tinggal meneruskan saingan pada kejohanan itu, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei kalah kepada pilihan kelima, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto dari Jepun; 15-21 dan 7-21.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Hong Kong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan