Chong Wei Bantu Mangsa Banjir

Diterbitkan: Selasa, 7 November 2017 8:29 PM

Pemandangan keadaan bencana banjir kilat dari udara di sekitar Kampung Sungai Dua pada Isnin. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dalam kesibukannya menjalani latihan dan persediaan untuk menyertai kejohanan, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei sempat menguruskan bantuan untuk mangsa banjir di Pulau Pinang.

Beliau menghantar dua lori sarat berisi makanan. sebahagian besarnya biskut, dan 100 biji bantal untuk diserahkan kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Walaupun saya tidak dapat ke sana bersama-sama mereka (mangsa banjir), tapi saya tolong mana yang boleh untuk bantu mangsa banjir di sana.

“Saya ada menerima mesej memaklumkan keperluan mangsa banjir yang masih belum cukup, dan saya hantar sedikit bantuan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Selasa.

Pemain berusia 35 tahun, berasal dari Bukit Mertajam Pulau Pinang itu, berharap bantuan yang dihulur dapat mengurangkan beban mangsa banjir.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri itu telah meragut tujuh nyawa. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , banjir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan