Jin Wei Gagal Rangkul Gelaran Pertama Senior

Diterbitkan: Ahad, 2 Julai 2017 8:40 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain remaja negara, Goh Jin Wei terlepas peluang keemasan untuk merangkul gelaran senior sulung apabila tewas 17-21, 17-21 kepada pemain Jepun, Saena Kawakami pada aksi final Kejohanan Badminton Grand Prix Emas BWF Terbuka Taiwan, Ahad.

Bagaimanapun, pemain berusia 17 tahun dari Bukit Mertajam itu menunjukkan semangat juang tinggi dalam aksi perseorangan wanita yang berlangsung selama 39 minit di Taipei Arena, Songshan.

Set pertama menyaksikan pertarungan sengit apabila kedua-dua pemain saling meraih mata sehingga terikat 16-16, namun beberapa kesilapan mudah dilakukan Goh membolehkan pemain Jepun berusia 19 tahun itu mendahului 19-16, seterusnya memenangi set berkenaan.

Bersambung set kedua, Goh tampak lebih yakin untuk mendahului 10-6, tetapi Kawakami berjaya menyamakan kedudukan 10-10, sekali gus meraih kemenangan ketiga ke atas pemain ranking ke-44 dunia itu.

Goh sebelum ini pernah kecundang di tangan pemain yang menduduki ranking ke-59 itu pada pusingan pertama kejohanan yang sama tahun lalu dan pusingan ketiga Kejohanan Remaja Terbuka Belanda 2015.

Juara Remaja Dunia 2015 itu mara ke final selepas menewaskan seorang lagi pemain Jepun, Haruko Suzuki 21-16, 21-17 dalam tempoh 46 minit pada saingan separuh akhir, semalam.

Beliau merupakan satu-satunya wakil negara yang berjaya mara ke final apabila pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan pasangan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen kecundang di peringkat separuh akhir semalam.

Zii Jia, 19, yang menduduki ranking ke-106 dunia terpaksa akur dengan keputusan 15-21, 21-10 dan 12-21 kepada pemain tuan rumah, Chou Tien Chen, yang juga merupakan pemain nombor enam dunia dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama 51 minit.

Sementara, gandingan Kah Ming-Juan Shen yang kini berada dalam fasa persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland dari 21 hingga 27 Ogos ini, tumpas 14-21, 21-19, 13-21 kepada beregu tuan rumah dan pilihan kedua kejohanan, Chen Hung Ling-Wang Chi-lin. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Goh Jin Wei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan