Tawaran Sukar Ditolak - Misbun

Diterbitkan: Sabtu, 10 Jun 2017 10:22 AM

(Ubah saiz teks)

LEGENDA badminton negara, Datuk Misbun Sidek kembali sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki. Beliau dipertanggungjawabkan untuk melahirkan lebih ramai Lee Chong Wei untuk Malaysia. Bolehkah beliau lakukannya? Ikuti temubual wartawan STARSPORT, Rajes Paul mengenai punca beliau kembali ke BAM dan perancangannya untuk sukan tersebut.

Soalan: Apa yang memikat anda untuk kembali melatih skuad kebangsaan?

Jawapan: Saya kembali atas permintaan Lee Chong Wei. Kami ada hubungan seperti bapa dan anak. Kali ini saya tidak boleh katakan tidak pada 'anak' saya. Saya belum bersedia ketika dia bertanya kepada saya untuk kembali pada 2014. Saya meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enam tahun lalu (2011) kerana salah faham. Namun Chong Wei beritahu saya supaya lupakan kisah lalu dalam satu pertemuan penuh emosi baru-baru ini. Dia perlukan bantuan saya. Dia beritahu saya dia telah memulakan kariernya dengan saya dan mahu menamatkannya dengan saya. Saya tidak sampai hati untuk menolak pujukannya kali ini. 

Saya membantu dia menduduki ranking No.1 dunia tetapi masih ada urusan yang belum selesai. Dia mahu saya membantu memenuhi impiannya. Dia juga kecewa kerana tiada pemain pelapis yang boleh mengganti tempatnya. Dia mahu saya memulihkan skuad perseorangan lelaki. Saya beritahu saya lakukan untuk dia. Saya juga mahu tahu mengenai pendirian BAM sebelum memberikan sebarang komitmen. Saya bertemu dengan presiden (Datuk Seri Norza Zakaria) dan ia menjadi satu sesi yang agak baik. Saya jelas mengenai apa yang mereka mahukan.

Soalan: Apa yang anda lakukan dalam tempoh enam tahun?

Jawapan: Tempoh peralihan itu agak sukar ketika saya berundur pada 2011 kerana saya merindui pemain dan BAM. Namun terdapat beberapa cabaran dan memori yang indah juga. Saya biasanya bangun awal pagi dan pergi memancing.

Kemudian saya terlibat dalam klinik kejurulatihan. Saya menjalankan program untuk Nusa Mahsuri dan Kementerian Belia dan Sukan. Saya pergi ke setiap negeri untuk menjalankan program bagi bakat muda dan berkongsi ilmu saya. Tempoh itu juga dipenuhi dengan sesi bersama ibu bapa mereka. Nusa Mahsuri telah melatih 30,000 pemain muda sejak enam tahun lalu.

Saya juga melakukan latihan berpusat untuk pemain luar negara. Ia bukan mengenai ego. Saya mahu berkongsi pengalaman saya dalam sukan ini terutamanya dengan pemain atau jurulatih yang mahu belajar. Kini saya sedia untuk berkhidmat bersama skuad kebangsaan semula.

Soalan: Bagaimana sokongan keluarga terhadap keputusan anda untuk kembali bersama BAM?

Jawapan: Keluarga saya tidak terkejut sama sekali dan mereka gembira untuk saya. Latifah, isteri saya, seperti ibu kepada Chong Wei. Dia beritahu saya supaya jangan kecewakan Chong Wei lagi. Dia kecewa apabila saya meninggalkan Chong Wei pada 2011.

Saya fikir dia dapat merasakan saya akan kembali melatih Chong Wei semula. Dia seorang pesakit dialisis. Selain saya, anak lelaki saya kini perlu menghantarnya ke hospital setiap minggu. Ia satu pengorbanan. Saya menghargainya kerana dia tahu apa yang terbuku di dalam hati saya.

Soalan: Adakah anak anda Ramdan, juara kebangsaan 2012, akan menyertai skuad kebangsaan?

Jawapan: Ramdan mempunyai latihan program sendiri di Nusa Mahsuri, jadi biar ia kekal begitu. Dia mara ke final Kejohanan Kebangsaan (pada Februari) selepas pulih daripada keretakan di achilles tendonnya (pada 2015). Dia seorang pejuang dan saya amat bangga untuknya. Saya jurulatih kebangsaan sekarang tetapi ini tidak bermaksud saya memberikan keistimewaan kepadanya.  Saya layan dia sama seperti pemain lain. Namun seperti bapa lain, impian saya adalah untuk melihat dia mengejutkan dunia satu hari nanti.  

Soalan: Tugas anda adalah untuk melahirkan lebih ramai Chong Wei untuk Malaysia. Adakah anda melihat sebarang pemain berpotensi?

Jawapan: Situasi kelihatan kritikal. Terdapat isu disiplin dan kurang komitmen. Chong Wei kata dia cuba untuk membantu tetapi dilihat sebagai bersikap angkuh dan ego di kalangan pemain. Dia bergelut untuk memberi motivasi kepada mereka. Saya akan cuba melakukan tanggungjawab saya kerana agak sukar untuk membuat penilaian sekarang.

Saya perlu merasai sendiri dan melihat kualiti, sikap dan karakter pemain di sana. Pada hari ini, pemain muda lebih bijak berbanding jurulatih. Mereka terus melakukan carian di Google dan YouTube untuk mendapatkan bantuan tambahan. Masa sudah berubah dan terdapat juga gangguan lain. Ia memerlukan masa untuk jurulatih memindahkan ilmu pengetahuan kepada pemain terutamanya bakat muda.

Kita mempunyai ramai pemain tetapi sukar untuk mencari yang berbakat. Dia perlu ada impian untuk menjadi juara, menyerap apa yang sudah diajar dan menterjemahkan ia dengan baik semasa pertandingan. Chong Wei seperti itu.

Soalan: Apa perubahan yang anda mahu lihat?

Jawapan: Saya inginkan keputusan yang lebih baik, itu sudah tentu. Selain Chong Wei, saya mahu melihat juara perseorangan lelaki yang lain juga. Tidak ada perkara seperti jurulatih yang sempurna, tetapi saya berharap dapat memberikan segalanya yang ada.

Agak rumit untuk berurusan dengan pemain dari pelbagai era. Rashid (Sidek) berada di era yang lain apabila saya melatihnya. Kemudian, ada Roslin (Hashim) dan disusuli Hafiz (Hashim) dan Chong Wei. Mereka pemain No.1 dunia. Saya berbesar hati untuk melahirkan pemain No.1 dunia yang baharu. Itu matlamat dan cabaran peribadi saya.

Soalan: Anda sudah berusia 57 tahun tetapi masih cergas. Bagaimana anda kekalkan kecergasan itu?

Jawapan: Saya makan 10-15 telur setiap pagi ketika saya masih muda. Namun saya mengurangkan pengambilannya sekarang. Makanan seimbang itu penting. Saya tidur awal dan bangun awal untuk melakukan senaman fizikal. Ia penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan saya gembira dengan apa yang saya lakukan.  Lagipun saya perlu bersaing dengan semua pemain muda dan mereka perlu menjadi lebih cergas daripada saya.

Tags / Kata Kunci: Misbun Sidek , Lee Chong Wei , BAM

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan