Chen Long Raih Wild Card Ke Kejohanan Dunia

Diterbitkan: Khamis, 4 Mei 2017 7:43 PM

Chen Long pemain tunggal yang menerima wild card pada cabaran Kejohanan Dunia tahun ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mengambil kira status Chen Long sebagai penyandang gelaran Sukan Olimpik dan juara dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah memberikan jaguh China itu slot wild card untuk beraksi pada Kejohanan Dunia 2017 di Scotland dari 21 hingga 27 Ogos depan.

BWF dalam kenyataan pada Khamis, berkata dengan menggunakan hak menamakan pemain atas tiket wild card dalam setiap kategori, badan induk itu memutuskan memilih pemain berusia 28 tahun itu berdasarkan status dan tarikannya kepada penonton bagi menghangatkan lagi kejohanan yang akan berlangsung di Arena Emirates di Glasgow.

Chen Long memenangi gelaran perseorangan lelaki pada dua edisi terakhir Kejohanan Dunia, serta pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.Chen Long terlepas tiket kelayakan automatik pada Kejohanan Dunia 2017 berdasarkan kepada ranking dunia BWF pada 27 April – iaitu tarikh ranking itu dikeluarkan bagi menentukan pemain yang layak beraksi pada Kejohanan Dunia kali ini. 

Chen Long sekadar di ranking kesembilan, iaitu pemain keempat China di belakang Shi Yuqi (lima), Tian Houwei (tujuh) dan Lin Dan (lapan).

Menurut BWF, setiap anggota gabungan hanya boleh menyenaraikan empat pemain jika mereka berada dalam kelompok lapan teratas, tiga pemain jika di kedudukan sembilan hingga 24 terbaik, atau dua wakil sekiranya di kedudukan 25 hingga 150 terbaik.

Ini adalah satu-satunya tiket wild card yang diberikan oleh BWF untuk Kejohanan Dunia 2017.

Antara pemain perseorangan lelaki terbaik dunia yang layak secara merit beraksi pada kejohanan itu adalah pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei,  Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen dari Denmark; Son Wan Ho (Korea Selatan); Shi Yuqi, Tian Houwei dan Lin Dan (China); serta Chou Tien Chen dari Taiwan.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Chen Long , Kejohanan Badminton Dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan