Kejohanan Dunia: Chong Wei Ketuai Cabaran Perseorangan Lelaki

Diterbitkan: Jumaat, 28 April 2017 8:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempatnya ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan manakala juara bertahan, Chen Long dari China terlepas tiket kelayakan automatik.

Chong Wei mengetuai senarai pemain perseorangan lelaki yang layak setelah mengumpul 81,703 mata, berkelebihan 9,889 mata daripada pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark.

Chen Long pula sekadar di ranking kesembilan, iaitu pemain keempat China di belakang Shi Yuqi (lima), Tian Houwei (tujuh) dan Lin Dan (lapan).

Menurut kenyataan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap anggota gabungan hanya boleh menyenaraikan empat pemain jika mereka berada dalam kelompok lapan teratas, tiga pemain jika di kedudukan sembilan hingga 24 terbaik, atau dua wakil sekiranya di kedudukan 25 hingga 150 terbaik.

Namun pemilihan pemain bergantung kepada anggota gabungan terbabit, dan Chen Long masih boleh mengisi slot pada kejohanan berkenaan jika dipilih Persatuan Badminton China, yang terpaksa mengorbankan seorang daripada tiga pemain teratas mereka.

Semua anggota gabungan diberi tempoh sehingga 11 Mei untuk mengesahkan penyertaan pemain mereka yang layak di bawah Fasa 1, dan tarikh tutup pengesahan penyertaan bagi fasa dua dan akhir adalah pada 25 Mei.

Sementara itu, selain Chong Wei, semua pemain utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita), Chang Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) serta Goh Jin Wei (perseorangan wanita) turut mengesahkan tempat mereka.

Berikutan tiada tiga wakil negara berada dalam kelompok lapan dan 24 terbaik, Malaysia hanya akan mempunyai dua wakil dalam setiap kategori.

Seperti China, Denmark juga mempunyai tiga pemain perseorangan lelaki yang layak dalam kelompok 24 pemain terbaik iaitu Axelsen, Jan O Jorgensen (tiga) dan Hans-Kristian Solberg Vittinghus (20), begitu juga India dan Hong Kong.

Pemain India yang layak ke kejohanan berkenaan adalah Ajay Jayaram (13), Kidambi Srikanth (22) dan juara Terbuka Singapura baru-baru ini, Sai Praneeth (23), manakala pemain Hong Kong yang layak ialah Ng Ka Long (10), Wong Wing Ki (11) dan Hu Yun (14).

Dalam pada itu, pemain Brazil Ygor Coelho de Oliveira (56), Jacob Maliekal (108) dari Afrika Selatan, dan pemain Australia Pit Seng Low (178) adalah pemain berada di kedudukan teratas, masing-masing dari benua Pan Am, Afrika dan Oceania.

Setiap dari lima konfederasi benua layak mempunyai wakil pada kejohanan berkenaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei , Kejohanan Dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan