Kecederaan Liu Ying Resahkan Frost

Diterbitkan: Khamis, 27 April 2017 6:24 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kecederaan tangan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying meresahkan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yang mengakui situasi itu menjejaskan persiapan menghadapi kejohanan Piala Sudirman dari 21-28 Mei ini.

Malah, Frost berkata peluang skuad negara dalam acara berpasukan campuran itu dilihat sukar berbanding seperti yang dikatakan beliau sebelum ini.

“Keadaan kita tidak sekuat apa yang saya katakan beberapa bulan lepas. Namun, saya tetap rasakan kita masih boleh bersaing dan perlu mengambil kesempatan daripada peluang yang ada.

“Buat masa ini, Liu Ying tidak mampu membuat persiapan rapi berikutan kecederaannya. Kami masih berbincang mengenainya dan  ia akan dibincangkan dalam mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan) esok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman penajaan penerbangan skuad negara ke kejohanan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia oleh AirAsia X, Khamis.

Malaysia diundi dalam Kumpulan 1C bersama Jepun dan Jerman yang menggantikan England yang menarik diri.

Juara 10 kali China yang diletakkan sebagai pilihan utama berada dalam Kumpulan 1A bersama Thailand dan Hong Kong manakala juara Piala Thomas 2016, Denmark yang juga pilihan kedua berada dalam Kumpulan 1D bersama Indonesia dan India.

Sementara itu, pemain perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang baru pulih dari kecederaan tulang belakang sudah kembali menyertai kem latihan skuad negara.

Bagaimanapun, Frost berkata beliau masih boleh menaruh harapan kepada barisan pemain pilihan kedua untuk memperkuatkan skuad negara sekiranya perlu berbuat demikian.

Beliau berpuas hati dengan prestasi gandingan beregu campuran kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan juga beregu lelaki Teo Ee Yi-Ong Yew Sing dalam beberapa kejohanan yang disertai mereka tahun ini.

“Ia adalah sukar untuk Kian Meng-Pei Jing tetapi aksi mereka di Terbuka Singapura adalah petanda mereka berada pada landasan tepat,” katanya.

Kian Meng-Pei Jing kini menduduki ranking ke-10 dunia manakala Peng Soon-Liu Ying di ranking kelapan.Menurut Frost, senarai nama pemain ke Piala Sudirman akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa C&T pada Jumaat.

Katanya, sandaran pemain perseorangan masih terletak di bahu pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam kejohanan dwitahunan itu sejak ia diadakan pada 1989 ialah melangkah ke separuh akhir edisi 2009 di Guangzhou, China.

Pada edisi ke-14 di Dongguan, China pada 2015, Malaysia tewas kepada Korea Selatan di suku akhir. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Morten Frost Hansen , Goh Liu Ying

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan