Nastase Sindir Bakal Anak Williams 'Coklat Dengan Susu'

Diterbitkan: Sabtu, 22 April 2017 12:22 PM

(Ubah saiz teks)

BEKAS pemain legenda tenis, Ilie Nastase disiasat oleh Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) gara-gara komen rasis terhadap Serena Williams.

Nastase menyindir sinis mengenai warna kulit anak dalam kandungan Williams yang bakal dilahirkan kelak.

Pada Khamis lalu, Williams yang merupakan juara 23 kali Grand Slam itu membuat mengumumkan mengenai kandungannya yang sudah mencecah 20 minggu.

Selain membuat komen berunsurkan rasis, kapten pasukan Romania Piala Fed itu juga turut menunjukkan 'hidung belangnya' dengan meminta nombor bilik hotel kapten Great Britain, Anne Keothavong.

Nastase (kiri) turut disiasat selepas meminta nombor bilik hotel Keothavong (kanan).

ITF menyiasat komen yang dibuat Nastase ketika sidang menjelang perlawanan play off aksi Kumpulan Dunia Romania II bertemu Great Britain pada Jumaat.

Menurut kenyataan ITF: "ITF tidak akan bertolak ansur dengan sikap diskriminasi, bahasa kesat dan apa sahaja kelakuan yang berkaitan. Kami sedar komen yang dibuat oleh kapten Romania, Ilie Nastase dan telah menjalani siasatan segera."

Pada sidang media tersebut, pemain No. 1 Romania, Simona Halep diminta berkongsi pandangan mengenai kandungan pertama Williams bersama tunangnya, Alexis Ohanian.

"Saya yakin ia perkara yang baik baginya dan amat menarik apabila mempunyai anak. Saya harapkan yang terbaik dalam hidupnya.

"Dia seorang pemain yang hebat dan pada pendapat saya selepas ini dia akan kembali dan memenangi lebih banyak perlawanan," jelas Halep dalam bahasa Inggeris.

Namun ketika Halep memberi pendapatnya itu, Nastase menyampuk dalam bahasa Romania: "Mari lihat warna apa nanti. Coklat dengan susu?'.

Manakala tiga lagi pemain Romania yang turut hadir pada sidang media itu Irina-Camelia Begu, Sorana Cirstea dan Monica Niculescu hanya tersenyum.

Nastase sememangnya mempunyai rekod rasis sebelum ini.

Pada 2010, dia didenda oleh Majlis Kebangsaan Romania (Menentang Diskriminasi) selepas membuat kenyataan bahawa Presiden Perancis Nicolas Sarkozy melakukan perkara betul apabila mengusir rakyat Romania.

Malah dia juga mengakui menggelar Arthur Ashe 'negroni' ketika bergandingan bersama dan mendedahkan dalam autobiografinya (Mr Nastase) bahawa ia merupakan panggilan mesra.

Bekas juara slam dua kali berusia 70 tahun itu juga dilaporkan telah berkahwin sebanyak empat kali dan meniduri seramai 800 hingga 900 wanita.

Malah dia juga mengakui, layanan kepada pemain-pemain wanita adalah berlainan.

"Saya tidak mudah marah, lebih-lebih terhadap pemain wanita.

"Jika saya bersama pemain lelaki, mungkin (marah) tetapi disebabkan saya bersama ramai pemain wanita, saya perlu menjaga tingkah laku."

Tags / Kata Kunci: Ilie Nastase , Rasis , Serena Williams

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan