Norza Tekad Kembalikan Kegemilangan Badminton Negara

Diterbitkan: Jumaat, 21 April 2017 12:42 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang hampir pasti dipilih sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, bertekad untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan badminton negara di pentas antarabangsa.

Beliau menyifatkan keputusan sebulat suara Ahli Majlis BAM yang menyokong penuh usul supaya beliau dilantik sebagai presiden baharu badan induk itu, menjelang mesyuarat agung tahunan BAM pada 29 April ini, menyerlahkan lagi semangat kekeluargaan yang sedia terjalin dalam BAM.

Mohamad Norza turut terharu dengan sokongan diberikan semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin; isteri perdana menteri dan juga Penaung BAM Datin Seri Rosmah Mansor; selain pencabarnya, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid yang sanggup memberi laluan kepadanya untuk menerajui BAM.

“Bagi saya, ini adalah satu tanggungjawab yang sangat besar… beban dan tanggungjawab ini akan saya pikul dan kepercayaan yang diberi akan saya ambil dengan sebaik mungkin sebagaimana yang dikatakan oleh penaung BAM yang ingin melihat badminton kita berada di peringkat yang tertinggi,” katanya.

Mohamad Norza berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Ahli Majlis BAM di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, Khamis.

Mohamed Al-Amin juga turut berterima kasih kepada Khairy dan Rosmah yang menjadi orang tengah dalam menyelesaikan kemelut di antara beliau dan Mohamad Norza bagi jawatan utama BAM itu.

Beliau menegaskan keputusan sebulat suara dicapai Ahli Majlis BAM membuktikan semangat kerjasama masih kekal utuh dalam badan induk berkenaan.

“Saya lihat Datuk Seri Mohamad Norza ini seorang pemimpin muda, lebih bertenaga dari pada saya dan saya lihat beliau mempunyai kemampuan (untuk memimpin) BAM selain mempunyai semangat untuk memastikan badminton negara dapat sama-sama dipertingkatkan lagi ( ke tahap yang lebih baik),” tegas Mohamed Al-Amin.-Bernama

Tags / Kata Kunci: BAM , Datuk Seri Mohamad Norza

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan