Chong Wei Akur Kehebatan Lin Dan

Diterbitkan: Ahad, 9 April 2017 7:13 PM

CHONG Wei (kiri) bergambar bersama Lin Dan selepas majlis penyampaian hadiah Terbuka Malaysia di Kuching pada 9 April 2017. - AFP

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei akur dengan kehebatan jaguh China, Lin Dan walaupun terkilan gagal untuk menjuarai acara perseorangan Terbuka Malaysia untuk kali ke-12.

Chong Wei, pemain nombor satu dunia, tewas 19-21, 14-21 kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini pada Ahad.

"Hari ini bukan persembahan terbaik saya dan memang kecewa tetapi saya kena terima kekalahan ini sebab dalam sukan ada menang dan kalah," katanya pada sidang media selepas aksi final itu.

Menurut Chong Wei, tiupan angin dalam stadium sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan kerana bulu tangkis yang disangka keluar sebenarnya masuk ke dalam gelanggang.

Katanya, biarpun mendahului dalam set pertama tetapi Lin Dan berjaya mendapat keyakinan untuk mengejar mata, yang dibantu dengan beberapa kesilapan yang dilakukannya sehingga membolehkan pemain China itu memenangi set pertama.

Menurut Chong Wei, kemenangan set pertama sangat penting untuk memberi keyakinan dan Lin Dan berjaya memperolehnya.

Sementara itu, Lin Dan berkata beliau sangat gembira dan berpuas hati kerana dapat menewaskan Chong Wei dalam final tersebut, menebus kekecewaan 11 tahun lepas apabila tewas kepada pemain negara di final dan gelanggang yang sama.

"Kami berdua bermain dengan baik dan kami telah menunjukkan mutu permainan yang tinggi untuk menghiburkan penonton.

Sebenarnya badan saya masih sakit setelah terjatuh di gelanggang ketika aksi separuh akhir tetapi saya tetap bersemangat menewaskan Chong Wei dalam final hari ini dan sangat gembira dapat melakukannya," kata Lin Dan seperti dilaporkan Bernama.

Ini adalah pertemuan pertama kedua-dua pemain selepas separuh akhir Sukan Olimpik Rio tahun lalu.

Menurut Lin Dan, sejak memenangi kejuaraan Seluruh England, prestasi Chong Wei semakin meningkat walaupun pemain itu bergelut dengan kecederaan.

Katanya beliau menyertai Terbuka Malaysia untuk dua tujuan iaitu mengutip mata bagi menaikkan rankingnya untuk layak ke Kejohanan Dunia dan untuk menghapuskan badi tewas di Terbuka Malaysia sebelum ini.

Beliau turut berterima kasih kepada penonton di sini kerana menyokongnya dalam setiap perlawanan.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan turut menerima kekalahan Chong Wei dan mengakui Lin Dan bermain lebih baik. 

Katanya Lin Dan juga menunjukkan skil yang lebih tinggi sambil menambah sasaran sebenar Chong Wei tahun ini ialah menjuarai Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Selepas ini Chong Wei akan menyertai Kejohanan Asia di Wuhan, China dan Piala Sudirman di Australia sebelum Kejohanan Dunia.

Tags / Kata Kunci: Lee Chong Wei

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan