Dua Pasangan M'sia Mara Suku Akhir Terbuka India

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mac 2017 8:39 AM

Gambar fail Goh V Shem (kiri) dan Tan Wee Kiong.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua gandingan negara iaitu beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta pasangan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mara ke suku akhir Siri Super Terbuka India di Stadium Tertutup Siri Fort, di New Delhi pada Khamis.

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan utama kejohanan, mara selepas menewaskan gandingan Malaysia/Indonesia, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan 21-10, 21-17 di pusingan kedua, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia www.bwfbadminton.org. 

Di suku akhir pada Jumaat, mereka akan berdepan naib juara Seluruh England, Li Junhui-Liu Yuchen dari China yang menyingkirkan pilihan kelima, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 21-12, 23-21.

Peng Soon-Liu Ying yang juga beregu campuran nombor satu negara mara selepas menundukkan gandingan Indonesia, Edi Subaktiar-Gloria Emanuelle Widjaja 21-11, 21-19.

Di suku akhir, mereka akan berdepan pemenang perlawanan antara Kim Gi Jung-Shin Seung Chan dari Korea Selatan dan Mathias Christiansen-Sara Thygesen dari Denmark.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam tiga acara lain - perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita - di kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah AS$325,000 (RM1.436 juta).

Juara tiga kali Terbuka India, Datuk Lee Chong Wei tidak mengambil bahagian untuk memberi tumpuan bagi menjuarai Terbuka Malaysia buat kali ke-12 di Kuching, Sarawak dari 4-9 April. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan