Sukan SEA: Iskandar Kembali Bersemangat Jalani Latihan

Diterbitkan: Jumaat, 31 Mac 2017 4:25 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin kini boleh menarik nafas lega selepas doktor pakar memaklumkan dia berpeluang beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Namun buat masa ini, dia dinasihatkan agar kerap menjalani fisioterapi kerana keretakan tulang belakangnya itu akan sembuh dengan sendiri.

Pemain berusia 25 tahun itu juga dinasihatkan menjalani latihan ringan sahaja supaya usaha pemulihan tidak terjejas.

"Sekarang kecederaan saya semakin pulih, memang ada cakera teranjak. Semalam (Khamis) saya sudah jumpa doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur dan doktor menjelaskan dalam sukan kecederaan ini biasa berlaku.

"Saya kembali bersemangat apabila doktor beritahu, saya masih berpeluang beraksi di Sukan SEA atau mungkin lebih awal lagi," katanya selepas menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara. 

Menurutnya, doktor tidak dapat memastikan berapa lama untuk pulih kerana ia bergantung kepada keadaan fizikal dan tahap keretakan itu sendiri. 

Iskandar berkata kecederaan yang dialaminya agak serius kerana tidak menyedari keretakan tulang di belakang badannya itu lebih awal walaupun mengalami sakit yang berulang kali sebelum ini.

Pada sesi latihan pagi Jumaat, Iskandar kelihatan bersemangat menjalani latihan bersama rakan sepasukannya termasuk jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.

Selain beraksi di Sukan SEA, Iskandar juga berharap dia dapat menyertai skuad negara ke Piala Sudirman di Gold Coast, Australia pada 21-28 Mei ini.

Dalam pada itu, pemain ranking ke-27 dunia tersebut turut mengakui rankingnya akan terjejas berikutan kekurangan kejohanan yang akan disertainya tahun ini. 

Biarpun begitu, Iskandar berkata penurunan ranking dunia itu tidak mengganggu sasaran utamanya untuk kembali kompetitif dalam persiapan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

"Sebenarnya, saya agak kecewa selepas dapat tahu keadaan saya kali ini lebih serius, lebih-lebih lagi apabila doktor sendiri tidak dapat pastikan bila kecederaan saya ini boleh sembuh.

"Mungkin mengambil masa setahun...jadi apabila fikirkan semula, lebih baik kecederaan ini pulih sepenuhnya kerana sasaran saya adalah Sukan Olimpik 2020. Saya tidak mahu kecederaan ini berulang," katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Iskandar Zulkarnain , badminton , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan