Hanya Gandingan Vivian-Khei Wei Teruskan Cabaran Di Terbuka Switzerland

Diterbitkan: Khamis, 16 Mac 2017 3:06 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu wanita utama, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menjadi wakil tunggal negara yang meneruskan cabaran di Grand Prix Emas Terbuka Switzerland, pada lewat Rabu (awal pagi Khamis di Malaysia).

Pilihan ketiga itu menewaskan Lin Xiao Min-Wu Fang Chien dari Taiwan 21-18, 21-14 di pusingan pertama yang diadakan di Arena St. Jakobshalle, demikian menurut lawan web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Vivian-Khe Wei akan menentang satu lagi pasangan Taiwan, Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han di pusingan kedua pada Khamis selepas lawan itu menewaskan pasangan bidan terjun, Khairunnisa Imma Muthiah-Jenjira Stadelmann (Indonesia/Belanda) 21-16, 21-17.

Cabaran Malaysia dalam tiga lagi acara - perseorangan lelaki dan wanita serta beregu lelaki - berakhir selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tewas 26-28, 18-21 kepada naib juara Seluruh England, Li Junhui-Liu Yuchen dari China di pusingan pertama.

Turut mengalami nasib sama, bekas juara perseorangan Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim yang berganding dengan Mohd Razif Abdul Latif, apabila  kalah 8-21, 9-21 di tangan Mathias Christiansen-David Daugaard dari Denmark.

Pemain profesional negara, Tan Boon Heong yang berganding dengan bekas juara Olimpik dan dunia, Hendra Setiawan dari Indonesia, memberi tentangan hebat kepada pilihan ketiga, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark sebelum tewas 13-21, 21-15, 14-21.

Goh Chiap Chin dan Yap Rui Chen pula tersingkir dalam kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah US$120,000 (RM532,528), masing-masing di pusingan awal perseorangan lelaki dan wanita pada Selasa. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan