'Vote For Squash': WSF Belum Mengalah

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 1:42 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) masih giat mempromosikan kempen 'Vote for Squash' bagi memastikan acara itu dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik 2024.

Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Nik Razeen A Daud berkata, pihaknya belum menyerah kalah walaupun Jawankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 2013 memutuskan untuk tidak menyenaraikan acara itu pada Sukan Olimpik 2020.

"Saya difahamkan oleh Presiden SRAM, Huang Ying How yang juga naib presiden WSF bahawa kempen itu masih lagi berjalan.

"Kami enggan menyerah kalah," katanya pada sidang media persediaan pasukan skuasy negara menjelang kejohanan Sukan SEA, Ogos ini di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, Rabu.

Menurut Nik Razeen, kempen itu bukan sahaja mendapat sokongan pemain Malaysia tetapi juga semua pemain skuasy di seluruh dunia.

"Sudah tentu semua pemain, bukan sahaja di Malaysia tapi seluruh dunia merasakan acara skuasy patut dipertandingkan pada Sukan Olimpik sejak beberapa tahun lalu.

"Kami masih berusaha untuk memastikan ia menjadi kenyataan," katanya.

Empat tahun lalu, percubaan kali ketiga skuasy untuk menjadi acara Olimpik menemui kegagalan selepas kalah kepada gusti yang menerima 49 undi.

Skuasy sekadar menerima 22 undi, manakala besbol-sofbal 24 undi.

Tags / Kata Kunci: SRAM , Olimpik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan