Sukan SEA: Andrea, Mohd Syafiq Azam Buru Emas

Diterbitkan: Rabu, 15 Mac 2017 3:10 PM

Mohd Syafiq dan Andrea Lee menanam impian untuk memburu pingat emas Sukan SEA 2017, Ogos ini.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy kebangsaan, Andrea Lee Jia Qi mahu menghadiahkan dua pingat emas untuk negara dalam penampilan sulung pada temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini.

Andrea, 19, berkata beliau yakin mengulangi pencapaian terbaiknya seperti Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu menerusi acara beregu dan berpasukan jika bebas daripada sebarang kecederaan.

"Saya akan cuba buat yang terbaik... harap dapat menang dua emas. Jika bebas daripada kecederaan segalanya pasti akan berjalan lancar.

"Buat masa ini saya belum 100 peratus cergas tapi kecederaan semakin baik. Saya giat menjalani rawatan fisioterapi dengan pemantauan Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media persediaan pasukan skuasy menjelang temasya Sukan SEA 2017, Ogos ini di Majlis Sukan Negara (MSN), Rabu.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pada Sukan SEA, Andrea berkata beliau akan menyertai kejohanan Skuasy Individu Asia di Chennai, India bulan depan sebelum berlepas ke New Zealand untuk menghadapi saingan Skuasy Remaja Dunia, Julai ini.

"Ini merupakan penyertaan pertama saya pada Sukan SEA, jadi Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) menghantar pemain untuk mendedahkan mereka dengan pelbagai kejohanan.

"Ia satu persediaan yang dinanti-nantikan kerana kami akan berpeluang bertemu pemain senior yang lebih berpengalaman," katanya.

Sementara itu, pemain skuasy ranking kelima negara, Mohd Syafiq Kamal turut menanam impian untuk memburu lebih daripada satu pingat yang diperoleh pada 2015.

"Ini aksi kali kedua selepas 2015 di mana saya menang pingat emas dalam acara berpasukan. Saya harap tahun ini dapat sumbang lebih dari satu emas," katanya.

Meskipun mengakui perasaan gemuruh tetap ada, Mohd Syafiq berkata beliau yakin tahap keyakinannya tidak akan terjejas kerana beraksi di hadapan penyokong dan gelanggang sendiri.

"Perasaan gementar ada tapi saya lebih yakin kerana kita mempunyai kelebihan dari segi penyokong dan gelanggang sendiri yang banyak membantu," katanya.

Mohd Syafiq, 21, turut mensasarkan untuk beraksi bagi acara beregu dan berpasukan pada temasya dua tahun sekali itu.

"Saya mahu beraksi dalam kedua-dua acara ini di mana saya banyak bergandingan dengan Ng Eain Yow," katanya.

Senarai akhir pemain dan acara yang disertai pada temasya Sukan SEA hanya akan diketahui pada Julai ini.


Tags / Kata Kunci: Andrea Lee , Mohd Syafiq Kamal , skuasy , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan