Tiada Wakil Negara Pada Aksi Suku Akhir

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2017 10:24 PM

Tan Jia Wei

(Ubah saiz teks)

SIBU: Malaysia tidak mempunyai wakil di suku akhir perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Victor Far East Malaysia Masters selepas Tan Jia Wei dan Chong Wei Feng, masing-masing ditunjuk jalan keluar olehpemain Indonesia, Khamis.

Jia Wei tumpas kepada Muhammad Bayu Pangisthu 18-21, 10-21, manakala Anthony Sinisuka Ginting menumpaskan Wei Feng 21-15, 23-21 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu.

Saingan suku akhir pada Jumaat, menyaksikan dominasi pemain Indonesia selepas masing-masing pilihan ketujuh dan kelapan, Tommy Sugiarto dan Jonatan Christie, serta Wisnu Yuli Prasetyo mara ke peringkat tersebut.

Tommy Sugiarto mengalahkan Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong 21-10, 21-17; Jonatan menumpaskan rakan senegara Shesar Hiren Rhustavito 24-22, 21-16, manakala Wisnu mendahului 14-8 pada set pertama sebelum lawannya, Pannawit Thongnuam dari Thailand menarik diri.

Jonatan akan berdepan pilihan utama, Angus Ng Ka Long dari Hong Kong yang mengalahkan pilihan ke-16 dari Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 21-14, 21-14, manakala Tommy Sugiarto akan menentang Wisnu di suku akhir.

Muhammad Bayu pula akan menentang pemain veteran Korea Selatan, Lee Hyun Il,yang juga pilihan kelima, yang menewaskan pemain Taiwan, Chen Chun Wei 21-14,21-7.

Sementara Anthony Sinisuka akan bertemu pilihan keenam, Ajay Jayaram dariIndia, yang menundukkan Hsuan Yi dari Taiwan 21-12, 15-21, 21-15.-Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan