Terbuka Macau: Kian Meng-Pei Jing Mara Ke Separuh Akhir

Diterbitkan: Jumaat, 2 Disember 2016 11:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu campuran kedua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terus menampilkan aksi terpuji apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau di Tap Seac Multisport Pavilion pada Jumaat.  

Beregu pilihan ketiga kejohanan itu, bagaimana pun berdepan tentangan sengitdaripada pasangan pilihan kelapan, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika dari Indonesia, sebelum mencatat kemenangan 22-20, 24-22 dalam aksi suku akhir, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org. 

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang juga pilihan utama kejohanan, pula dikejutkan apabila tumpas 12-21, 22-20,15-21 kepada pasangan bukan pilihan, Zhang Nan-Li Yinhui dari China.

Dua pasangan beregu wanita Malaysia juga mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.

Pasangan pilihan kedua, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei menumpaskan beregu Taiwan, Wen Hao Yun-Ye Jing Ya 21-15, 21-18 manakala Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mengalahkan satu lagi pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jung 21-12, 21-14.

Dalam pada itu, cabaran pemain perseorangan lelaki dan wanita negara berakhir apabila mereka tumpas kepada lawan masing-masing.

Bekas pemain kebangsaan, Chong Wei Feng kalah 13-21, 17-21 kepada pemain pilihan keenam, Wang Tzu Wei dari Taiwan dalam acara perseorangan lelaki, manakala juara remaja dunia 2015 Goh Jin Wei tumpas kepada pilihan keenam, ChenYufei dari China 14-21, 10-21 dalam acara perseorangan wanita.

Sementara itu, kempen Malaysia dalam acara beregu lelaki berakhir pada Khamis selepas tiga pasangan negara tewas kepada lawan masing-masing di pusingan kedua.- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan