Skuad Skuasy Wanita Mula Langkah Kanan

Diterbitkan: Selasa, 29 November 2016 1:13 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan kempen Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2016 penuh bergaya selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Belanda pada aksi pembukaan Kumpulan C di Pusat Skuasy Jeu De Paume, Paris, Perancis.

Pemain remaja meningkat naik, S. Sivasangari yang membuat penampilan sulung pada kejohanan itu, bermula cemerlang apabila mudah menundukkan Tessa Ter Sluis 11-4, 11-7, 11-7 dalam perlawanan selama 24 minit.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menepati ramalan mencatat kemenangan kedua dengan menumpaskan Natalie Grinham 11-6, 11-3, 11-1 sebelum juara kebangsaan, Delia Arnold memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukan negara, menurut laman web http://wsfwomensteams.com/ pada Selasa.

Delia, bagaimanapun terpaksa berdepan tentangan sengit daripada Milou Van Der Heijden sebelum mencatat kemenangan 9-11, 11-7, 11-5, 8-11, 11-5 dalam aksi yang berlarutan selama 43 minit.

Pada satu lagi aksi Kumpulan C menyaksikan pilihan keenam kejohanan, Australia mudah menumpaskan Austria 3-0.

Malaysia yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, dijadual menentang Australia, manakala Belanda berdepan Austria pada aksi kedua Kumpulan C, Rabu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan