Terbuka Hong Kong: V Shem-Wee Kiong Ke Pusingan Kedua

Diterbitkan: Khamis, 24 November 2016 8:40 AM

V Shem-Wee Kiong mara ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad badminton beregu lelaki negara memulakan langkah cemerlang dalam Siri Super Terbuka Hong Kong selepas menewaskan lawan masing-masing di pusingan pertama pada Rabu.

Mengetuai cabaran negara ialah beregu nombor satu dunia dan pilihan utama kejohanan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mudah menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-14, 21-15 dalam masa 41 minit.

Menanti V Shem-Wee Kiong di pusingan keduapada Khamis, ialah sama ada gandingan Indonesia, Berry Angriawan-Hendra Setiawan atau pasangan China, Liu Cheng-ZhangNan.

Menurut keputusan dikeluarkan laman web, bwfsuperseries.com, turut mengesahkan kemaraan adalah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mengalahkan Mads Conrad Peterson-Mads Pieler Kolding dari Denmark 21-19, 22-24, 21-18 manakala Lim Khim Wah-Ong Jian Guo menundukkan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 23-21,21-11.

Gandingan Yew Sin-Ee Yi akan bertemu pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hwan-Yoo Yeon Seong, yang menewaskan gandingan profesional negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 19-21, 8-21 manakala Khim Wah-Jian Guo pula bakal bertemu gandingan tuan rumah, Law Cheuk Him-Reginald Lee Chun Hei.

Dalam aksi perseorangan lelaki menyaksikan pemain negara, Chong Wei Feng mencipta kejutan apabila menundukkan pemain ranking ke-10 dunia, Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand 18-21, 21-19, 21-11 dalam pertarungan selama sejam.

Menanti Wei Feng pada pusingan kedua adalah pemain India, Prannoy Haseena Sunil Kumar yang menewaskan pemain China, Qiao Bin 21-16, 21-18.

Sementara Iskandar Zulkarnain terpaksa akur dengan ketangkasan pemain pilihan keempat dari Korea Selatan, Son Wan Ho apabila tewas 11-12, 21-19, 15-21 dalam pertarungan selama 57 minit, sementara Zulfadli Zulkifli terpaksa menarik diri ketika pemain tuan rumah, Angus Ng Ka Long mendahului 17-12 dalam set penentuan.

Set pertama menyaksikan pemain tuan rumah itu memenanginya dengan 21-17, bagaimanapun Zulfadli bangkit menguasai set berikutnya dengan kemenangan 22-20.

Bagi beregu wanita pula, Vivian Hoo-Woon Khe Wei mudah menewaskan pasangantuan rumah Leung Sze Lok-Wu Yi Ting 21-11, 21-12 dan dijadual bertemu beregu pilihan ketiga dari Denmark, Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen, Khamis.

Bagaimanapun, beregu kedua negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean tewas kepada pasangan China, Bao Yixin-Yu Xiaohan 21-12, 16-21, 18-21.

Tags / Kata Kunci: Terbuka Hong Kong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan