Terbuka Perancis: Zulfadli Mara Ke Pusingan Kedua

Diterbitkan: Khamis, 27 Oktober 2016 8:39 AM

Zulfadli Zulkiffli.

(Ubah saiz teks)

PARIS: Latihan keras di gimnasium akhirnya menampakkan hasil buat Zulfadli Zulkiffli di Terbuka Perancis.

Wakil negara, Zulfadli mengatasi pemain China, Huang Yuziang 24-22, 12-21, 22-20 dalam masa satu jam 14 minit untuk menempah tiket ke pusingan kedua perseorangan lelaki di Stadium Pierre de Coubertin pada Rabu.

Zulfadli akan bertemu Son Wan-ho dari Korea Selatan untuk merebut slot ke suku akhir Super Siri itu buat pertama kalinya.

"Saya amat gembira kerana memenangi aksi pembukaan di sini selepas mempamerkan prestasi hambar pada Terbuka Denmark.

"Saya bermain dengan agak baik pada set pertama tetapi hilang fokus di set kedua. Saya melakukan banyak kesilapan.

"Namun saya mengingatkan diri sendiri supaya bermain dengan sabar sama seperti yang saya lakukan pada set pertama dan ia berkesan," kata Zulfadli.

Mengenai pertemuan dengan Wan-ho di pusingan kedua pada Khamis, Zulfadli berkata: "Kami ada rekod 1-1 dan saya berharap dapat memberikan dia tentangan yang sengit."

Sementara itu, beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mengikut jejak langkah Zulfadli.

Gandingan Kian Meng-Pei Jing pula akan bertemu pasangan pilihan kedua dari Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto.

Kian Meng-Pei Jing mengetepikan beregu dari England, Ben Lane-Jessica Pugh 21-19 dan 21-16 dalam pusingan pertama.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki dan beregu wanita sekadar terhenti di pusingan pertama.

Juara Terbuka Denmark minggu lepas, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan rentak cemerlang mereka.

Gandingan negara yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan tewas kepada pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 19-21, 17-21.

Diikuti satu lagi beregu lelaki negara Ong Yiew Sin-Teo Ee Yi yang juga gagal mara ke pusingan kedua selepas tunduk kepada pasangan Indonesia Mohammad Hasan-Berry Angriawan 17-21,17-21.

Gagal ke pusingan seterusnya adalah pasangan beregu wanita Vivian Ho-Woon Khe Wei apabila terpaksa akur tunduk kepada beregu Jepun Naoko Fukuman-Kurumi Yonao 16-21, 16-21.

Tags / Kata Kunci: Terbuka Perancis , Zulfadli Zulkiffli

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan