Liew Daren, Chung Seang Langkah Kanan

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2016 12:18 AM

Liew Daren.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Liew Daren melepasi dua halangan untuk mara ke pusingan ketiga dalam sistem pengiraan 11 mata pada Kejohanan Grand Prix Taiwan Masters di Taipei pada Rabu.

Pemain tanpa pilihan itu memulakan kempen acara perseorangan lelaki dengan mengalahkan pemain tuan rumah, Lee Chia Hao, 1-11, 11-6, 10-12, 12-10 dan 11-9 sebelum mengejutkan pilihan keenam, Firman Abdul Kholik dari Indonesia, 11-6, 4-11, 11-7, 8-11, 11-6 pada pusingan kedua.

Bekas pemain negara, Tan Chung Seang turut melangkah ke pusingan ketiga selepas mengatasi pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen 9-11, 11-8, 11-4, 5-11, 11-7.

Pada pusingan kedua, Chung Seang turut melakukan kejutan dengan menyingkirkan pilihan kelapan, Muhammad Bayu Pangisthu dari Indonesia dengan keputusan 11-5, 11-4, 11-9.

Dalam pusingan pertama acara perseorangan wanita, Tee Jing Yi dan Ho Yen Mei mara ke pusingan kedua manakala laluan Sonia Cheah dan Goh Jin Wei tersekat di tangan pemain Jepun di pusingan pembukaan.

Jing Yi mengalahkan pemain Taiwan, Hsiang Ti, 9-11, 15-13, 11-7, 9-11, 11-5 manakala Yen Mei mengatasi pemain Indonesia, selaku pilihan ketujuh,  Fitriani Fitriani, 11-9, 15-13, 6-11, 11-6.

Cheah pula kalah kepada Yukino Nakai, 7-11, 6-11, 8-11 manakala Jin Wei kepada Saena Kawakami dengan keputusan 7-11, 8-11, 4-11.

Dalam acara beregu lelaki, hanya beregu negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Jagdish Singh mara ke pusingan kedua selepas tiga lagi beregu negara terkandas di pusingan pertama.

Nur Moh Azrin-Jagdish, selaku pilihan kelapan, menewaskan beregu Thailand, Trawut Potieng-Nanthakarn Yordphaisong, 15-13, 11-9, 5-11, 10-12, 11-9.

Tiga beregu negara yang gagal mara ialah Chooi Kah Min-Low Juan Shen yang tumpas di tangan beregu pilihan keempat, Hardianto-Kenas Adi Haryanto dari Indonesia dengan 12-14, 15-13, 6-11, 11-5, 11-7.

Beregu Jepun, Taiki Shimada-Yoshinori Takeuchi mengalahkan pilihan ketujuh, Lim Khim Wah-Ong Jian Go 11-7, 8-11, 11-8, 11-8 manakala pilihan ketiga, Liao Min Chun-Tseng Min Hao (Taiwan) mengalahkan Tan Chee Tean-Tan Wee Gieen 11-9, 11-9, 11-9.

Dalam acara beregu wanita, dua beregu negara mara ke pusingan kedua selepas masing-masing menewaskan beregu tuan rumah pada pusingan pertama.

Lim Yin Loo-Cheng Wen mengalahkan Chiang Kai Hsin-Hung Shih Han, 13-11, 12-10, 11-6 manakala Chow Mei Kuan-Lee Men Yean menewaskan Yu Wen-Lin Tsun Yu dengan keputusan 11-5, 11-4, 11-6.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu campuran pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$55,000 (RM230,544). - BERNAMA


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan