Terbuka AS: Aksi Konsisten Bawa Murray Ke Suku Akhir

Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 10:58 AM

(Ubah saiz teks)

PEMAIN No.2 dunia, Andy Murray menempah tiket ke saingan suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menyingkir Grigor Dimitrov  6-1 6-2 6-2 di Flushing Meadows awal pagi Selasa.

Murray yang merupakan juara kejohanan sama pada tahun 2012 dilihat berada di landasan selesa untuk kembali merangkul trofi ini sekaligus menambah koleksi gelaran Grand Slam yang keempat dalam kariernya.

"Saya bermain dengan baik hari ini walaupun melakukan beberapa kesilapan dan turut memberi saingan sengit kepada Grigor. 

"Saya juga berpuas hati dengan pukulan servis yang turut mendapat beberapa mata percuma dan ianya sangat penting," jelasnya selepas perlawanan.

Pemain berusia 29 tahun itu juga turut mencatat servis dengan kelajuan 141mph yang pertama kali direkodkan sepanjang kariernya.

"Ia adalah yang paling laju yang pernah saya lakukan selepas mencatat kelajuan sekitar 138 ketika di sini tetapi saya tidak pernah memukul bola lebih daripada 140. Saya fikir ia sangat bertuah dan hanya melakukan sekali sahaja.

"Ini adalah gelanggang yang luar biasa, keadaannya sangat memuaskan untuk beraksi," tambahnya.

Dalam pada itu, Murray yang masih segar meraikan kejayaan di Wimbledon dan Olimpik Rio kini cuba melakukan kemenangan berturut-turut bakal berdepan dengan Kei Nishikori dalam saingan kelompok lapan terbaik.

"Sudah pasti ia perlawanan yang sengit. Beberapa minggu lalu ketika di Rio, saya turut berdepan dengannya dan sudah pasti ia akan lebih sukar".

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan