Badminton Masih Sandaran Utama Emas Di Olimpik Tokyo

Diterbitkan: Rabu, 24 Ogos 2016 11:08 PM

Khairy Jamaluddin

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Sukan badminton masih menjadi sandaran utama negara untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik akan datang di Tokyo.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kejayaan skuad badminton di Sukan Olimpik Rio de Janeiro membuktikan prospek pingat emas tidak tertumpu kepada satu kategori sahaja.

Khairy berkata Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mencapai sasaran awal ekoran kejayaan tiga pingat perak di Sukan Olimpik kali ini dan beliau yakin badminton mampu merealisasikan pingat emas pertama di Tokyo nanti.

"BAM mempunyai satu pelan jangka panjang yang sedang dilaksanakan Morten Frost Hansen (Pengarah Teknikal BAM). Pemain badminton negara hampir meraih pingat emas buat negara.

"Kita sebenarnya kompetetif tidak kira dalam acara perseorangan, beregu lelaki dan beregu campuran. Beregu wanita juga mempamerkan aksi yang baik," katanya pada sidang media di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang Rabu.

Skuad badminton menyumbang tiga pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

Khairy turut meminta pemain badminton profesional negara supaya menyertai BAM kerana badan induk sukan itu mempunyai perancangan yang terbaik dan sistematik untuk pemain.

"Badminton dalam lima tahun mendatang akan mempunyai ramai pemain pelapis yang kompetetif dalam program BAM. Pandangan saya pemain-pemain yang hebat di luar sana, sertailah BAM.

"Saya difahamkan untuk menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa, pemain perlu melepasi tahap kecergasan mereka dulu. BAM kini menekankan elemen kecergasan sebagai keutamaan," katanya.

Khairy berkata Akademi Badminton yang akan siap pada Disember ini juga merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain pelapis.

"Kita mula merancang dengan Kementerian Pendidikan untuk menambah bilangan pelapis di peringkat sekolah dan negeri," katanya.

Khairy juga berkata pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) bercadang menambah lagi jurulatih dari China bagi membimbing lebih ramai atlet terjun pelapis kebangsaan.

Bagi berbasikal pula, beliau juga berpendapat sukan itu memerlukan pelumba setanding Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Rio.

Dalam pada itu, pada Olimpik Tokyo nanti, Khairy juga percaya atlet karate negara mempunyai peluang meraih pingat untuk negara.

"Kita mempunyai beberapa atlet karate bertaraf dunia, kami masih menunggu klasifikasi bagi sukan karate untuk Olimpik Tokyo," katanya.

Tags / Kata Kunci: Olimpik Tokyo , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan