Malaysia Raih Perak Acara Beregu Lelaki

Diterbitkan: Sabtu, 20 Ogos 2016 5:00 AM

(Ubah saiz teks)

RIO DE JANEIRO: Malaysia terlepas peluang terbaik meraih pingat emas pertama apabila pasangan negara tumpas kepada gandingan China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada perlawanan akhir acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik Rio di sini, Jumaat.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong terpaksa akur selepas menampilkan aksi terbaik mereka di temasya kali ini, berdepan dengan pasangan keempat dunia itu pada perlawanan yang berlangsung sengit di set penentuan.

V Shem-Wee Kiong memiliki dua peluang keemasan untuk menamatkan pertarungan  tersebut ketika aksi di mata dius pada set penentuan, sebelum pasangan China itu bangkit untuk meraih pingat emas dengan kemenangan 21-16, 11-21, 21-23.

Kejayaan Haifeng-Zhang Nan itu adalah pingat emas pertama bagi China dalam acara badminton pada Olimpik kali ini selepas terlepas gelaran dalam perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran, berbanding pencapaian pasukan itu menyapu bersih kesemua lima emas yang ditawarkan pada Olimpik 2012 di London.

Pasangan Malaysia itu menampilkan permainan terpuji bagi menyaingi beregu China itu dan terikat 7-7 pada set pertama, sebelum mendahului dan menamatkan saingan tersebut dengan 21-16 pada perlawanan yang berlangsung selama 20 minit.

Namun, gandingan China itu bangkit di set kedua dengan lebih agresif untuk terus mendahului dengan 6-1, seterusnya 20-10 sebelum menamatkan cabaran dengan 21-11.

Pada set penentuan, Haifeng dan Zhang Nan, bagaimanapun mendahului sehingga  pasangan Malaysia itu mengejar untuk mengikat kedudukan 12-12, sebelum beregu China itu menjarakkan mata dengan 17-14.

Namun, V Shem-Wee Kiong kembali bangkit dan menyamakan kedudukan 18-18 dan mendahului 20-19 sebelum V Shem gagal meraih mata kemenangan sebanyak dua kali selepas pukulan servis beliau terkandas di jaring.

"Kami kecewa, dan kesilapan semasa membuat pukulan servis menyebabkan kami tewas dalam pertarungan ini. Kami sudah mara sejauh ini namun gagal melakukan penyudahan yang baik," kata V Shem.

Beliau, bagaimanapun berkata secara keseluruhan mereka sudah melaksanakan tugas dengan baik dengan menewaskan pasangan pilihan dari China dan Korea Selatan untuk mara ke peringkat akhir. "Ia sesuatu yang malang...situasi ketika itu tegang menyebabkan kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya di saat-saat genting," kata Wee Kiong.

Setakat ini, badminton menyumbangkan dua pingat perak menerusi V Shem-Wee Kiong serta pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau pingat emas pada temasya Olimpik kini disandarkan kepada Datuk Lee Chong Wei yang akan turun beraksi dalam  perlawanan akhir perseorangan lelaki pada Sabitu, bertemu Chen Long dari China.

Selain dua pingat perak menerusi badminton, gandingan penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong turut menyumbangkan perak dalam acara 10m platform seirama wanita serta satu gangsa melalui pelumba basikal trek, Azizulhasni Awang dalam perlumbaan keirin. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: beregu campuran , Sukan Olimpik 2016

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan