Imran Daniel Juara Dunia Pada Usia 11 Tahun

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2016 2:36 PM

Imran Daniel Abdul Hazli.

(Ubah saiz teks)

SEBAIK mula merangkak, perkara pertama yang dilakukan Imran Daniel Abdul Hazli bukanlah mengambil barang permainan tetapi sebiji bola tenis.

Semenjak itu, dia memenangi acara perseorangan dan beregu sebelum dinobatkan sebagai juara dunia pertama dari Malaysia dalam sukan tenis pada tahun lalu.

Amat luar biasa bagi seorang kanak-kanak berusia 11 tahun?

"Kami sering berada di gelanggang tenis setiap hari kerana suami saya merupakan seorang jurulatih. Dia akan merangkak dan cuba menangkap bola tenis sepanjang masa," kata ibu Imran Daniel, Alya Nadirah Abdullah.

Bapa Imran Daniel merupakan bekas pemain tenis kebangsaan, Abdul Hazli Zainuddin.

Imran Daniel mula bermain tenis secara profesional ketika berusia tiga tahun dan tidak pernah menyukai sukan lain.

"Saya sentiasa minat tenis kerana ia sukan yang amat mencabar dan amat menyeronokkan," katanya dalam satu temubual di Pusat Tenis Kebangsaan di Kuala Lumpur.

Latihan Imran Daniel bermula pada pukul 3.30 petang dan berakhir kira-kira pukul 5.30 petang di mana dia melakukan sit up sebanyak 500 kali, setiap hari.

Selain tenis, dia turut mempunyai beberapa hobi lain tetapi ia tidak menjejaskan minatnya terhadap sukan kegemarannya itu.

Imran Daniel bersama keluarganya.

"Pada Sabtu jika saya tidak bermain tenis, saya berenang, bermain bola sepak atau golf. Kemudian pada Ahad saya hanya bermain permainan video," katanya yang kini bersekolah di SK Sri Hartamas.

Imran Daniel yang datang dari keluarga kacukan Melayu-Perancis memenangi Piala Kim Clijsters Next Generation awal bulan lalu di Belgium selepas menundukkan Micah Dahlmannn 6-1, 6-1.

"Kejohanan di Belgium itu merupakan cabaran besar kerana dia satu-satunya pemain yang mengambil bahagian dalam dua kategori dan pemain tunggal yang memenangi dua trofi dalam kejohanan itu," kata bapa Imran Daniel.

Bekas pemain No.2 negara itu turut berkata ia merupakan kali pertama Imran Daniel bermain di gelanggang tanah liat.

"Terus-terang, semua orang tahu bagaimana sukarnya berlatih dan bermain di gelanggang tanah liat, apatah lagi ketika hujan. Ia menjadikan kemenangan Imran Daniel lebih bermakna," katanya.

Imran Daniel berlatih di sisi bapanya, Hazli.

Pencapaian Imran Daniel amat membanggakan Hazli yang merupakan bapa, jurulatih dan rakan kepada anaknya itu.

"Sebagai bapa, saya kadang-kala sedikit beremosi kerana amat bimbang mengenai keselamatannya tetapi sebagai jurulatih, saya tahu dia merupakan pemain terbaik dan ia membuatkan saya bangga," kata Hazli yang pernah mewakili Malaysia pada Piala Davis.

Hazli mula melatih Imran Daniel ketika berusia empat tahun dan percaya keyakinan diri yang ada pada anaknya itu mendorong kejayaannya.

"Saya amat bersyukur kerana bapa menjadi jurulatih saya kerana dialah yang terbaik bagi saya. Bekerjasama dengan beliau tidak memberi tekanan kepada saya," kata Imran Daniel.

Kini Imran Daniel sedang menjalani latihan untuk mempersiapkan diri bagi Kejuaraan Tenis Junior Antarabangsa Yeoncheon 2016 yang akan diadakan di Korea Selatan pada 12 Ogos ini.

"Apabila ada kejohanan besar, saya berlatih bersungguh-sungguh supaya saya boleh mempersiapkan diri dengan lebih baik. Ia mengurangkan perasaan gemuruh saya," katanya.

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 4:12 PM

Mujur Tak Kena Langgar

Selasa, 24 Oktober 2017 2:47 PM

Nampak Mayat Bergelimpangan...

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Selasa, 24 Oktober 2017 8:30 AM

Penangan Ketam Raja

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Kolumnis

iklan

Iklan