Anak-Anak Malaysia Walk Satukan Rakyat - Nicol David

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, Datuk Nicol Ann David menyifatkan sukan berperanan menyatupadukan rakyat Malaysia.

Beliau berkata melalui sukan, bukan sahaja rakyat pelbagai bangsa bersatu padu memberi sokongan kepada setiap atlet yang berjuang di gelanggang sukan tetapi rakan seperjuangan turut menaikkan semangat antara satu sama lain.

"Tidak kira apa kaum dan agama anda, semua bersatu atas nama Anak-Anak Malaysia. Sorakan semangat Malaysia Boleh ibarat mengalir di dalam tubuh setiap kali saya beraksi sama ada di dalam mahupun luar negara.

"Dalam sukan setiap atlet khususnya sukan skuasy sentiasa menyokong antara satu sama lain. Kami amat rapat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Itulah nilai paling berharga yang lahir menerusi sukan," katanya ketika ditemui mStar Online di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.

Nicol kini berada di Malaysia untuk beraksi pada kejohanan Jemputan Skuasy Wanita Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) 2016 yang berlangsung pada Rabu hingga Ahad ini.

Kejohanan pemanas badan yang julung kali diadakan itu turut disertai pemain No 8 dunia, Omneya Abdel Kawy, Joelle King (No 9) dari New Zealand, pemain India Joshna Chinappa (No 10) , Jenny Duncalf (NO 14) dari England dan juga rakan senegara, Delia Arnold (No 18).

Pada masa sama Nicol memuji inisiatif Kumpulan Media Star yang menganjurkan program jalan kaki Anak-Anak Malaysia bersempena sambutan Kemerdekaan 2016 dalam memupuk nilai toleransi dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Ia satu inisiatif yang murni dan boleh dijadikan contoh oleh pihak lain dalam menyemai perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

"Oleh itu saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengambil bahagian dalam program ini dan bersama-sama menyemarakkan rasa cinta kepada negara," katanya.

Malah, atlet berusia 33 tahun itu berharap agar program ini dipertimbangkan supaya menjadi acara tahunan.

"Ia satu program yang bagus. Saya harap agar ia dapat dijadikan acara tahunan kerana berupaya memupuk nilai-nilai murni di kalangan rakyat," katanya.

Program Jalan Kaki Anak-Anak Malaysia akan diadakan di Bukit Bintang pada 14 Ogos depan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Ribuan peserta dijangka mengambil bahagian dalam acara yang bermula pada pukul 6.30 pagi dari persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Pudu.

Acara ini akan dirasmikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Nicol yang juga pemain No 4 dunia turut menyatakan rasa bangga kerana dilahirkan sebagai Anak Malaysia.

"Amat berbangga kerana saya mendapat sokongan tanpa berbelah-bahagi dari rakyat Malaysia. Di mana sahaja saya berada dan apabila saya bertanding di dalam negara, saya dapat rasakan semangat itu sepanjang masa," katanya.

Malah, beliau turut menggesa semua rakyat Malaysia supaya berkongsi kepelbagaian, sentiasa bersederhana dan menghormati antara satu sama lain yang juga asas kepada perpaduan kaum.

"Kita ada banyak program yang melibatkan pelbagai kaum di dalam negara. Sama-samalah kita kongsi kepelbagaian ini dan raikan semangat cinta kepada negara," katanya.

Acara jalan kaki sejauh 3.4 kilometer (km) itu dianjurkan Kumpulan Media Star dengan kerjasama pemaju hartanah terkemuka Eco World Development Group Bhd.

Untuk menyertai larian ini, sila daftar penyertaan di http://sites.thestar.com.my/aamwalk/

Peserta 3,000 terawal akan menerima tiket sumbangan Golden Screen Cinemas.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-7967 1388, sambungan 1432/1529/1243 (Isnin-Jumaat, 9 pagi -5 petang).

Tags / Kata Kunci: Anak-Anak Malaysia Walk

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan