Piala Uber: Frost Akui Kurang Pengalaman Jadi Pemisah

Diterbitkan: Khamis, 19 Mei 2016 12:26 AM

Jin Wei akui aksi Piala Uber memberi banyak pengajaran kepadanya.

(Ubah saiz teks)

KUNSHAN: Andai skuad muda Piala Uber negara memiliki lebih banyak pengalaman, pastinya kemaraan sekurang-kurangnya ke suku akhir mampu digapai.

Ini pastinya bermain di fikiran pegawai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta peminat sukan tempatan selepas melihat barisan muda negara gagal mengutip kemenangan ke atas Denmark dalam perlawanan kedua Kumpulan A mereka, walaupun mempunyai peluang yang baik.

Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen juga berkata anak buahnya beraksi dengan baik secara keseluruhan, namun mereka masih kurang dari segi pengalaman.

"Kesilapan utama pasukan ini adalah kurangnya pengalaman, usia pemain masih muda. Skuad ini mampu pergi lebih jauh asalkan kita terus membimbing mereka.

"Mungkin dengan menambah satu atau dua pemain dalam proses ini, kita mampu mendapat barisan pemain yang mantap," katanya.

Namun dalam sukan, tiada istilah 'mungkin' mahu pun 'kalau' kerana aksi pada hari perlawanan tetap menjadi ukuran apa lagi di pentas utama seperti Piala Uber ini.

Malah sebelum ini juga pernah terbukti pengalaman sahaja tidak cukup jika tidak disulami dengan semangat.

Sejarah final Piala Uber 1994 di Jakarta membuktikan bagaimana pemain muda Indonesia ketika itu, Mia Audina mengutip mata kemenangan 3-2 selepas menundukkan pemain jauh lebih senior daripadanya, Zhang Ning dari China.

Mia ketika itu baru berusia 14 tahun sembilan bulan, dan semangat mahukan kemenangan membuatkan penampilan tidak menunjukkan dia masih mentah berbanding lawannya, malah Zhang Ning pula yang jelas tertekan sehingga tewas 7-11, 12-10, 4-11.

Malaysia menamatkan cabaran mereka di Piala Uber dengan menduduki tangga ketiga Kumpulan A di belakang China dan Denmark, selepas menundukkan Sepanyol 3-2 dalam perlawanan terakhir mereka pada Rabu.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pemain negara yang diketuai Goh Liu Ying, Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Sonia Cheah, Vivian Hoo, Woon Khe Wei, Amelia Alicia Anscelly, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Walaupun tewas kepada gergasi dunia, China, skuad negara berjaya mengheret pertemuan sehingga berlarutan lima jam sebelum tunduk 0-5, dan Malaysia hampir mengejutkan gergasi Eropah, Denmark sebelum tewas 2-3.

Bagi pemain paling muda negara, Jin Wei, 16, penampilan pertama di Piala Uber dan berdepan pemain handalan yang berada di ranking teratas dunia, adalah pengalaman yang sangat berharga. 

"Banyak yang saya pelajari ketika berdepan jaguh seperti Wang Yihan (China) serta juara dunia dua kali Carolina Marin (Sepanyol). Saya perlu pelbagaikan pukulan, bukan hanya bertahan ketika lawan melakukan 'smash'," katanya.

Bagi Sonia yang kembali beraksi di kejohanan utama selepas pulih daripada kecederaan, walaupun gagal membawa skuad negara ke peringkat seterusnya, ia membantu mengembalikan keyakinannya untuk beraksi lebih cemerlang.

"Saya tidak kecewa dengan pasukan ini kerana kami telah memberikan yang terbaik, hanya nasib tidak menyebelahi kami.

"Jika Malaysia layak ke pusingan akhir edisi akan datang, saya percaya kita akan mencatat keputusan lebih baik," kata pemain berusia 23 tahun itu. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan