"Saya Mahu Lupakan Episod Duka 2012" - Chong Wei

Diterbitkan: Isnin, 16 Mei 2016 8:40 PM

Datuk Lee Chong Wei

(Ubah saiz teks)

KUNSHAN (China):  Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mahu melupakan episod hitam yang menimpa beliau ketika mengetuai skuad negara pada kejohanan Piala Thomas 2012 di Wuhan, China.

Pada masa itu, Chong Wei juga sedang mempersiapkan diri dalam misi meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik London 2012.

Chong Wei berkata dalam saingan kali ini, penting baginya lebih berhati-hati dan mendapat rehat secukupnya, dan pada masa yang sama berjuang membantu skuad negara pada Piala Thomas 2016.

Empat tahun lepas, pemain yang berada di ranking kedua dunia itu mengalami kecederaan buku lali ketika skuad negara menentang Denmark pada perlawanan suku akhir.

Chong Wei ketika itu berdepan Peter Gade, dan dijangka menyumbang mata pertama negara.

Bagaimanapun beliau dibawa ke luar daripada gelanggang di set pertama pada kedudukan 2-1, sekali gus skuad negara tewas 2-3 kepada Denmark.

"Saya mahu lupakan 2012, dan 2016 adalah tahun baharu. Saya akan persiapkan diri supaya dapat menjadi lebih baik daripada Olimpik 2012 di London. Saya harap kali ini, saya bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi Olimpik Rio.

"Masa semakin suntuk, saya perlu berhati-hati dan mendapat rehat sebaiknya.
Ketika ini masih ada tiga bulan, dan mungkin saya akan menyertai Terbuka Indonesia dan Australia sebelum beraksi di Rio de Janeiro (Brazil)," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Pada saingan Kumpulan C Piala Thomas hari ini, pemain berusia 33 tahun itu mengambil masa 40 minit untuk menyumbang mata pertama negara.

Mengenai pertemuan dengan Korea Selatan esok, Chong Wei amat berharap semua pemain dapat meraih keyakinan terutama Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang baru diturunkan pada aksi hari ini.

"Seperti Iskandar yang baru diturunkan, Wei Feng dan juga pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang gagal meraih mata semalam. Tidak kira siapa kalah, siapa menang, yang penting pasukan kita kena menang," katanya.

Malaysia berdepan cabaran sebenar apabila berdepan Korea Selatan esok, bagi melengkapkan saingan Kumpulan C, sekali gus menentukan pasukan mana akan ditentang di peringkat suku akhir.

Tags / Kata Kunci: Piala Thomas , Datuk Lee Chong Wei

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan